JAKARTA: Bekas Presiden Indonesia, Allahyarham Suharto diiktiraf sebagai Pahlawan Nasional sempena sambutan Hari Pahlawan pada Isnin, meskipun mendapat bantahan daripada kumpulan hak asasi manusia dan ahli akademik yang menentang rekod pemerintahan beliau.
Dalam majlis penganugerahan yang disempurnakan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang juga bekas menantu Suharto, kerajaan mengumumkan 10 tokoh baharu sebagai Pahlawan Nasional.
Suharto kini tersenarai bersama lebih 200 penerima lain termasuk presiden pertama yang dipilih secara demokratik, pejuang hak wanita dan tokoh kemerdekaan.
Keputusan kerajaan itu mencetuskan kontroversi apabila lebih 500 aktivis dan ahli akademik menghantar surat terbuka kepada Prabowo minggu lalu, meminta gelaran berkenaan tidak diberikan kepada Suharto.
Mereka berpendapat tindakan itu merupakan satu pengkhianatan terhadap mangsa pelanggaran hak asasi manusia dan mencemarkan sejarah demokrasi negara.
Suharto memerintah Indonesia selama lebih tiga dekad selepas mengambil alih kuasa pada 1967 susulan kudeta tentera yang gagal.
Pemerintahannya sering dikaitkan dengan dakwaan rasuah, kekerasan terhadap penentang politik dan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia sehingga beliau digelar diktator tentera.
Walaupun dikritik, Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi, mempertahankan keputusan kerajaan dengan menyatakan bahawa penganugerahan itu adalah bentuk penghormatan terhadap sumbangan besar pemimpin terdahulu dalam membangunkan negara.
“Kita menghormati jasa dan perjuangan mereka yang telah berkorban demi bangsa dan negara,” katanya.
Anak perempuan Suharto, Siti Hardiyanti Rukmana, yang hadir bersama adiknya, Bambang Trihatmodjo, melahirkan rasa terharu atas pengiktirafan itu.
“Ingatlah segala jasa ayah saya, sejak beliau muda hingga tua, perjuangannya tidak pernah berhenti demi rakyat Indonesia,” katanya kepada wartawan.
Antara tokoh lain yang turut diangkat sebagai Pahlawan Nasional tahun ini ialah aktivis buruh Marsinah yang dibunuh pada 1993, serta bekas Presiden Abdurrahman Wahid atau Gus Dur, yang meninggal dunia pada 2009.










