ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.33 bilion dengan jangkaan defisit sebanyak RM99 juta atau 11.81 peratus.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, belanjawan itu adalah daripada anggaran kutipan hasil sebanyak RM838 juta dengan peningkatan RM48 juta berbanding anggaran tahun ini.
“Anggaran hasil itu adalah daripada tanah berjumlah RM554.81 juta, pelbagai hasil (RM232.88 juta), hutan (RM33 juta) dan daerah (RM17.31 juta). Saya mohon mencadangkan peruntukan perbelanjaan mengurus 2026 berjumlah RM937 juta dengan kenaikan berjumlah RM47.1 juta atau 5.29 peratus.
“Daripada jumlah ini sejumlah RM91.4 juta adalah diperuntukkan sebagai Caruman Kumpulan Wang Pembangunan Negeri untuk menampung defisit Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan Kumpulan Wang Bekalan Air,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas itu, kata Muhammad Sanusi, kerajaan negeri akan mengamalkan perbelanjaan berhemah dengan mengawal perbelanjaan dan meningkatkan kutipan hasil negeri.
“Defisit ini biasanya ditampung oleh kawalan perbelanjaan. Seperti tahun ini kita berjaya kawal perbelanjaan dan hasil pula meningkat 102 peratus. Insya-Allah tahun ini kita harap kutipan melebihi anggaran. Yang penting kita tidak khianat dan menyeleweng,” katanya.
Sementara itu, Kedah mengumumkan ‘bonus’ buat penjawat awamnya berjumlah RM2,000 setiap orang yang akan dibayar pada Januari dan Mac tahun depan.
Menurut Muhammad Sanusi, sebanyak RM10 juta diperuntukan bagi bantuan khas kewangan tersebut yang melibatkan seramai 5,000 penjawat awam negeri yang akan menerima bantuan khas kewangan itu sebelum sesi pembukaan sekolah dan menyambut Hari Raya Aidilfitri
“Ia sebagai menghargai usaha keras dan dedikasi anggota pentadbiran negeri dan penjawat awam Kedah,” katanya.










