BAGHDAD: Sembilan penerbangan dari Kuwait terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Basra di selatan Iraq, semalam, selepas kabus menjejaskan jarak penglihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait.
Menurut Kementerian Pengangkutan Iraq yang dipetik agensi berita Xinhua, semua pesawat terbabit mendarat dengan selamat di Basra tanpa sebarang insiden, hasil kecekapan pihak berkuasa lapangan terbang dan kru penerbangan.
Pegawai Pentadbiran Lapangan Terbang Iraq, Mahmoud Abdul-Sattar, berkata pesawat-pesawat berkenaan dijangka kembali ke Kuwait sebaik sahaja keadaan cuaca bertambah baik.
Direktorat Umum Penerbangan Awam (DGCA) Kuwait memaklumkan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait telah disambung semula pada petang Ahad selepas jarak penglihatan kembali pulih.
Jurucakap DGCA, Abdullah Al-Rajhi, berkata jarak penglihatan mendatar jatuh di bawah 100 meter sejak kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan, menyebabkan langkah keselamatan diambil termasuk pengalihan laluan penerbangan bagi mengelakkan sebarang risiko.
Kabus tebal merupakan fenomena biasa pada musim sejuk di Kuwait dan sering kali menyebabkan gangguan sementara kepada jadual penerbangan. DGCA menegaskan pihaknya terus memantau keadaan cuaca bagi memastikan kelancaran serta keselamatan trafik udara negara itu.










