MANCHESTER: Manchester United sedia memberi ‘pengampunan’ dan tempat kepada pemain buangan jika mereka gagal mendapatkan pasukan baharu sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September ini.
Antara pemain yang kini menjalani latihan berasingan daripada skuad utama kendalian Ruben Amorim di Old Trafford ialah Alejandro Garnacho, Antony, Jadon Sancho dan Tyrell Malacia.
Beberapa kelab menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat pemain terbabit, namun rundingan belum dimuktamadkan kerana penilaian harga yang tinggi oleh United.
Garnacho dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea, manakala Real Betis dilaporkan berminat membawa masuk Antony semula selepas tempoh pinjaman yang cemerlang pada musim lalu.
Dalam pada itu, gaji tinggi Sancho yang mencecah sehingga 350,000 pound (RM1.98 juta) seminggu menjadi penghalang utama perpindahannya ke kelab lain ketika ini.
“Saya sedar ini bukan situasi yang ideal kerana jelas mereka mahu bermain di tempat lain. Tetapi apabila jendela perpindahan ditutup, keadaannya akan berubah.
“Ketika itu, kami perlu menerima mereka semula dan beri mereka kehidupan baharu di kelab ini,” kata Amorim yang akan berdepan Fulham di Craven Cottage, malam ini.
The Red Devils memulakan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan langkah kiri selepas tewas 0-1 kepada Arsenal, hasil kesilapan mudah penjaga gol, Altay Bayindir.
Kesilapan itu membolehkan Riccardo Calafiori menjaringkan gol menerusi tandukan untuk skuad kendalian Mikel Arteta mengutip tiga mata penuh dalam aksi pertama.
Penjaga gol utama, Andre Onana, yang terlepas aksi pramusim kerana kecederaan hamstring, dijangka kembali beraksi menentang Fulham malam ini, namun Amorim enggan memberikan jaminan kepada penjaga gol Cameroon itu.
“Onana sudah bersedia untuk bermain, seperti minggu lalu. Tapi kita lihat nanti siapa yang akan berada di posisi itu,” katanya.- AGENSI