Wujudkan semula skuad Harimau Muda

Wujudkan semula skuad Harimau Muda

ONG KIM SWEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan pelaksanaan kuota pemain B-23 dalam Liga Malaysia (Liga M) tidak akan membawa impak besar jika hanya dilaksanakan sebagai syarat tanpa sistem sokongan yang kukuh.

Kim Swee yang kini mengendalikan kelab Persik Kediri di Liga 1 Indonesia, berkata pengalaman di negara jiran menunjukkan bahawa walaupun syarat penggunaan pemain muda dikuatkuasakan, pelaksanaannya sering bersifat formaliti sahaja.

“Terpulang kepada pengelola liga (MFL) tapi kalau kita tengok kebanyakkan liga seluruh dunia syarat sebegini sudah tidak banyak dilaksanakan. Setakat satu atau dua pemain B-23 sebenarnya tidak mendatang kesan yang besar.

“Di Indonesia, setiap pasukan diwajibkan menggunakan pemain B-23 sekurang-kurangnya 45 minit, namun ramai jurulatih sekadar cukup syarat. Lepas 45 minit, mereka ditukar keluar. Jadi, pembangunan sebenar tidak berlaku,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Menurutnya, dalam bola sepak profesional, jurulatih sentiasa dibebani tekanan keputusan maka tanpa sistem yang menyokong pembangunan jangka panjang, syarat kuota semata-mata tidak akan melahirkan pemain muda berkualiti.

“Kalau saya sendiri jurulatih dari luar dan tidak ada pemain muda bertaraf seperti Arif Aiman (Hanapi), saya pun akan guna syarat minimum itu sahaja. Ini realiti bola sepak profesional jurulatih akan buat apa sahaja untuk menang,” jelasnya.

Beliau menambah, untuk membangunkan bakat muda secara lebih tersusun, perlu ada pendekatan lebih menyeluruh seperti yang pernah dilakukan menerusi projek Harimau Muda pada 2009, di mana semua pemain muda terbaik negara dikumpulkan dalam satu pasukan dan dan mendapat pendedahan berkualiti.

“Kalau betul nak bawa skuad B-23 ke tahap lebih tinggi, kita kena bina satu pasukan yang fokus sepenuhnya kepada pembangunan dan pendedahan berkualiti. Bukan hanya letak syarat dalam liga,” ujarnya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mewujudkan kuota khas bagi pemain bawah B-23 dalam setiap pasukan Liga M.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, langkah itu penting bagi mematangkan bakat muda serta memberi impak positif kepada prestasi pasukan B-23 dan Harimau Malaya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN