Tiga tahun untuk Kim Swee buktikan

Tiga tahun untuk Kim Swee buktikan

Ong Kim Swee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Ong Kim Swee sebagai Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) berkuat kuasa 1 Disember lalu merupakan langkah strategik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memperkukuh pembangunan bola sepak negara.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan, keputusan berkaitan program pembangunan kini diserahkan sepenuhnya kepada Kim Swee bersama jawatankuasa teknikal, termasuk aspek lantikan, penilaian serta pelepasan pegawai dan jurulatih yang terlibat.

Menurutnya, pendekatan berkenaan bertujuan memberi autonomi penuh kepada barisan teknikal supaya perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, profesional dan berfokus jangka panjang.

“Datuk Ong akan menilai keseluruhan program, memperbaiki kelemahan terdahulu dan memastikan setiap langkah yang diambil mampu menghasilkan keputusan lebih baik.

“Fokus utama adalah untuk memastikan setiap jurulatih dan pegawai mampu memberi impak positif serta menyumbang kepada keberkesanan program,” katanya, pada sidang media selepas Mesyuarat Khas EXCO di Wisma FAM, semalam.

Tegasnya, kuasa menentukan sesiapa kekal dan dilepaskan terletak sepenuhnya pada jawatankuasa teknikal.

“Kami percaya sepenuhnya kepada Kim Swee dan pasukan teknikal untuk menilai setiap pegawai dan jurulatih berdasarkan kebijaksanaan dan keperluan program. Yang penting, setiap keputusan mesti memacu program ini ke arah lebih baik,” jelasnya.

Menurut Yusoff, proses penilaian ini bukan sekadar soal memilih siapa yang diteruskan atau dilepaskan tetapi lebih kepada memastikan asas yang kukuh dibina untuk pembangunan bola sepak negara secara menyeluruh.

Bagi tempoh kontrak dan indek prestasi utama (KPI) beliau menekankan bahawa pembangunan pemain dan jurulatih memerlukan pengurusan jangka panjang.

“Program pembangunan biasanya memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun kerana tidak boleh dicapai dalam masa singkat. KPI perlu ditetapkan lebih tinggi daripada sebelum ini dan dinilai setiap tahun.

“Kita tidak mahu lantik orang baharu tetapi KPI tetap sama. Setiap individu perlu menunjukkan hasil yang lebih baik atau memberi kesan positif kepada program,”jelasnya.

Difahamkan, Kim Swee ditawarkan kontrak selama tiga tahun bagi memastikan NFDP berada di landasan terbaik dan mampu melahirkan pemain berkualiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×