PETALING JAYA: Pengarah Teknikal baharu Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee menegaskan kesediaannya melakukan apa sahaja perubahan yang perlu bagi memastikan objektif melahirkan pemain muda berkualiti serta pelapis berpotensi buat pasukan Harimau Malaya dapat direalisasikan.
Jelasnya, sebarang penstrukturan semula yang akan dilakukan bergantung sepenuhnya kepada kemampuan bajet sedia ada, namun menegaskan perkara itu tidak akan dijadikan alasan untuk gagal mencapai objektif utama NFDP.
Menurut Kim Swee, langkah paling asas yang perlu dilakukan adalah menilai barisan jurulatih sedia ada sama ada mereka masih relevan untuk dikekalkan atau terpaksa dilepaskan demi kelangsungan program.
“Memang akan ada perubahan, tetapi ia sangat bergantung kepada perbelanjaan dan bajet. Saya tidak berada dalam situasi seperti pengarah teknikal sebelum ini, namun itu bukan alasan kerana tugas utama saya adalah mencungkil dan melahirkan bakat muda berkualiti.
“Tentu sekali akan ada yang baharu dan ada yang keluar. Itu adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi dan merupakan lumrah dalam dunia pekerjaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan bertindak mengeluarkan kenyataan negatif yang sepatutnya tidak didedahkan kepada umum.
Kim Swee turut menegaskan NFDP bukan badan kebajikan, sebaliknya sebuah program pembangunan prestasi tinggi yang memerlukan ketegasan dalam membuat keputusan demi hasil jangka panjang.
“Saya terpaksa menyelaraskan banyak perkara agar ia selari dengan bajet yang ada, selain memastikan objektif utama NFDP dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dapat dicapai.
“Ini bukan tempat kebajikan. Kita perlu fokus kepada objektif utama kerana selepas beberapa tahun kebelakangan ini, hasil yang diharapkan masih belum dicapai,” jelasnya.
Mengulas mengenai situasi semasa bola sepak negara, beliau menjelaskan penggunaan pemain warisan dan naturalisasi adalah penyelesaian jangka pendek, manakala NFDP berperanan sebagai perancangan jangka panjang bagi melahirkan pemain tempatan berkualiti.
“Apa yang kita lakukan di sini adalah untuk melahirkan pemain berbakat yang mampu membantu pasukan negara meraih kejayaan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau turut mengimbas pengalamannya mengendalikan program Harimau Muda sebelum ini yang membuahkan hasil, namun mengakui ia memerlukan peruntukan kewangan yang besar.
Sehubungan itu, bekas jurulatih Harimau Malaya itu berharap semua pihak memberi ruang dan masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun untuk menilai keberkesanan perancangannya, bukannya terus menghukum berdasarkan perubahan awal yang dilakukan.
“Dalam apa jua sukan, jika mahukan hasil berkualiti, bajet yang besar adalah satu keperluan.
“Mungkin sebelum ini mereka diberikan bajet besar dan banyak perkara dapat dilaksanakan, tetapi ketika ini terdapat pelbagai kekangan yang perlu saya sesuaikan agar objektif utama tetap dapat dicapai,” ujar Kim Swee. – UTUSAN










