NFDP bukan projek ‘mi segera’

NFDP bukan projek ‘mi segera’

Ong Kim Swee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH 

Bola sepak Malaysia sedang berdepan krisis integriti. Isu yang menular pasukan kebangsaan bukan lagi soal kalah atau menang, sebaliknya sistem melahirkan pemain berkualiti tinggi.

Apabila pembangunan tempatan gagal melahirkan pemain mencukupi, Malaysia seakan dipaksa berserah kepada pemain naturalisasi dan warisan.

Pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi masih kabur sehinggalah keputusan drastik melantik bekas pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee untuk mengubah keadaan menjadikan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kembali seperti dicatur.

NFDP kini diambil alih dari segi teknikal oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan seramai 198 orang pelatih dari peringkat umur 13 hingga 17 tahun telah memulakan sesi 2026 dengan latihan pertama di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang pada 12 Januari lalu.

Dalam temu bual eksklusif bersama wartawan Mingguan Malaysia, AFIQAH ABAS, Ong Kim Swee berkongsi wawasannya selepas dilantik sebagai Pengarah Teknikal NFDP yang dianggap tulang belakang menjayakan program untuk menyediakan barisan pelapis negara yang setanding standard antarabangsa.
——————————————————————————————————————–

UTUSAN: Sebagai Pengarah NFDP, apakah keutamaan Datuk dalam tempoh terdekat untuk memperkukuh pembangunan pemain tempatan khususnya di peringkat akar umbi?

Ong Kim Swee: Fokus utama saya bila dilantik adalah memastikan kita membina satu ekosistem pembangunan bola sepak yang cukup konsisten bagi kita memikirkan bagaimana untuk melahirkan pemain tempatan yang berkualiti untuk kita sediakan ke tahap profesional dan juga kebangsaan.

Dalam situasi bola sepak Malaysia yang sekarang semakin bergantung kepada pemain luar seperti naturalisasi, bagaimana NFDP di bawah pimpinan Datuk sendiri akan memastikan bakat tempatan kita terus menjadi fokus utama dalam pembangunan jangka kebangsaan?

Ong Kim Swee: Kita tahu NFPP adalah program pembangunan bola sepak negara, jadi kita harus kekal komited untuk memastikan pemain tempatan kita merupakan teras pembangunan untuk jangka masa panjang, bukan jangka masa pendek dan untuk kita melakukan program jangka masa panjang, kita harus mempunyai sistem pembangunan yang lebih sistematik dari usia muda. Itu yang penting apabila kita mempunyai program pembangunan bola sepak di mana tujuan kita untuk melahirkan pemain tempatan yang berkualiti dan selepas itu dah tentu selepas dari NFDP mereka harus menjadi pilihan utama kelab dan juga terutamanya untuk pasukan kebangsaan.

Datuk ada perancangan terhadap struktur akademi, liga umur dan laluan pembangunan pemain dari peringkat sekolah lagi?

Ong Kim Swee: Kita ada beberapa tahap di sini, pilihan untuk ke NFDP dari peringkat sekolah dan kita akan bawa ke Akademi Mokhtar Dahari dan apabila sesiapa yang dipilih ke Akademi Mokhtar Dahari merupakan pemain-pemain elit, selain daripada akademi-akademi di negeri contoh DJD di Selangor akan turut kita pantau dan yang penting di sini mereka harus melalui fasa dari sekolah ke akademi dan ke peringkat negeri dan akhir sekali dah tentu ke kelab profesional.

Apakah pendekatan NFDP dalam memperkukuhkan struktur pembangunan peringkat umur?

Ong Kim Swee: Apa yang kita lakukan dalam NFDP ini adalah penstrukturan semula peringkat umur yang kita menekankan dari aspek pembangunan pemain-pemain dan yang pentingnya mengikut hala tuju bola sepak negara. Kita tidak boleh menekankan pembangunan pemain dengan mengikut hala tuju masing-masing. Kita harus mengikut hala tuju bola sepak negara. Penyelarasan seperti ini antara yang kita lakukan untuk mengukuhkan sistem kita dan juga kelab-kelab profesional di negara kita.

Bagaimana NFDP menangani isu ketidakseimbangan peluang pemain muda tempatan disebabkan kehadiran pemain asing?

Ong Kim Swee: Apabila kita di NFDP, kita akan menekankan pemain-pemain ini tidak boleh hanya pelatih. Saya akan menekankan lebih kepada pengukuhan liga kita di peringkat umur yang sesuai dan memastikan pemain-pemain ini diberi minit permainan yang menyeluruh supaya mereka mendapat saingan dan berdasarkan apa yang mereka bermain atau berdasarkan merit apabila diberi peluang untuk bermain dalam liga-liga kita.

Kita melihat kejayaan Vietnam dan Thailand konsisten melahirkan pemain tempatan. Apakah elemen daripada model pembangunan luar yang Datuk fikir sesuai untuk Malaysia terapkan dalam NFDP?

Ong Kim Swee: Kita akan melihat negara-negara yang mempunyai model pembangunan yang baik bukan sahaja Vietnam dan Thailand tetapi negara-negara di Eropah. Kita harus mengikut hala tuju bola sepak kita dan untuk peringkat remaja ataupun pembangunan kita harus mempunyai sistem pertandingan yang konsisten dan kompetitif. Itu merupakan agenda utama yang boleh kita adakan. Dari segi latihan saya rasa itu tidak banyak perbezaan dan kita harus cuba identifikasi pemain yang jelas untuk pemain-pemain model kita.

Selain pembangunan pemain, aspek apa lagi yang menjadi fokus NFDP?

Ong Kim Swee: Kita harus memikirkan pelaburan yang berterusan dalam pendidikan kejurulatihan di mana kita tak boleh memikirkan sahaja elemen daripada segi pendedahan untuk pemain-pemain model tetapi pelaburan berterusan untuk pendidikan kejurulatihan juga memainkan peranan yang penting.

Apakah KPI yang akan digunakan oleh NFDP untuk menilai keberkesanan program pembangunan ini?

Ong Kim Swee: Beberapa indikator yang boleh kita gunakan tetapi pembangunan mengambil masa itu yang perlu kita faham. Di peringkat pembangunan kita tak akan dapat keputusan yang kita inginkan dalam sekelip mata. Ini perlukan perancangan. Jadi apabila kita mempunyai KPI dalam NFDP, kita harus lihat setelah program itu dilaksanakan beberapa tahun untuk menilai daripada segi jumlah pemain NFDP yang menembusi sebuah kelab profesional.
Berapakah minit permainan yang dikumpulkan oleh pemain-pemain dari NFDP di peringkat ini, itu antara indikator dan termasuk kesinambungan pemain dari satu peringkat umur ke peringkat umur seterusnya. Kita kena lihat dari segi apa yang mereka melalui proses-proses yang kita inginkan dan tentu ini boleh dibantu dengan data-data teknikal, fizikal dan praktikal pemain yang kita terapkan dalam setiap latihan, permainan dan perlawanan.
Dan terakhir sekali, antara indikator yang paling penting adalah berapakah pemain NFDP yang dapat menyumbang kepada pasukan kebangsaan.

Dalam jangka masa lima hingga sepuluh tahun akan datang, apakah gambaran skuad kebangsaan yang Datuk sasarkan?

Ong Kim Swee: Saya ingin lihat skuad kebangsaan kita pada masa akan datang didominasi oleh pemain-pemain tempatan melalui program NFDP ataupun program-program yang dilakukan oleh akademi-akademi bola sepak di negara kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN