Lima tahun asah bakat tempatan

Lima tahun asah bakat tempatan

ONG KIM SWEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bola sepak kebangsaan dijangka didominasi semula dalam kalangan pemain tempatan untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, kata Datuk Ong Kim Swee.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata, kejayaan di peringkat pembangunan menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) tidak boleh dicapai dalam waktu yang singkat, sebaliknya memerlukan perancangan rapi dan penilaian berterusan.

“Saya ingin melihat skuad kebangsaan pada masa depan didominasi oleh pemain-pemain tempatan menerusi program NFDP ataupun program pembangunan yang dilaksanakan oleh akademi-akademi bola sepak di negara kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kim Swee dilantik sebagai Pengarah NFDP berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Pelantikan beliau bagi menerajui program itu disifatkan langkah strategik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memperkukuh ekosistem pembangunan bola sepak negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penilaian berterusan yang menjadi asas baharu program tersebut termasuk menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menilai keberkesanan perancangan yang dilaksanakan.

“Di peringkat pembangunan, kita tidak akan memperoleh keputusan yang diinginkan dalam sekelip mata. Ia memerlukan perancangan. Apabila kita menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam NFDP, penilaian hanya boleh dibuat selepas beberapa tahun pelaksanaan, khususnya dari segi jumlah pemain NFDP yang berjaya menembusi kelab profesional,” katanya.

Menurutnya, penilaian turut melibatkan proses latihan yang dilalui pemain, dibantu oleh data teknikal, fizikal dan taktikal yang diterapkan dalam setiap sesi latihan, permainan serta perlawanan.

“Namun, indikator paling penting adalah sejauh mana pemain-pemain NFDP mampu menyumbang kepada pasukan kebangsaan,” tegasnya.

Pelantikan Kim Swee ini juga dilihat antara tindakan awal FAM melakukan reformasi bola sepak negara susulan isu tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan tindakan penggantungan dan denda oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini atas kesalahan pemalsuan dokumen diri.

Selain digantung selama 12 bulan, kesemua pemain tersebut didenda CHF2,000 (RM10,411) setiap seorang, manakala FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×