Penyokong kena sabar, skuad B-23 belum serasi

Penyokong kena sabar, skuad B-23 belum serasi

JOEHARI ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Liga Wanita Nasional.- IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub mempertahankan ketua jurulatih bawah 23 (B-23), Nafuzi Zain sambil menjelaskan skuad muda negara masih dalam pembentukan dan perlu masa untuk mencapai keserasian di semua posisi.

Katanya, penyokong bola sepak tempatan tidak boleh cepat menghukum skuad B-23, biarpun mereka mempamerkan prestasi kurang menyakinkan di kejohanan Piala ASEAN B-23 di Indonesia, yang menyaksikan skuad kendalian Nafuzi gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

“Ini pasukan baharu, jurulatih pun baharu. Jadi dari segi keserasian dan prestasi keseluruhan, saya tetap puas hati,” kata Joehari bagi mengulas mengenai kegagalan skuad B-23 di Piala ASEAN 2025.

Menurut Joehari, ramai pemain skuad B-23 juga terdiri daripada muka baharu yang belum pernah bergandingan bersama, sekaligus membuktikan mereka memerlukan masa untuk membentuk keserasian.

Malaysia menamatkan kempen di tangga ketiga Kumpulan A tewas 0-2 kepada Filipina, bangkit membelasah Brunei 7-1 dan seri tanpa jaringan menentang tuan rumah, Indonesia.

Meskipun kekalahan kepada Filipina dianggap antara detik paling mengecewakan, Joehari yakin persembahan pemain menunjukkan hala tuju yang positif.

“Kadang-kadang kita main bagus, tapi bola ini bukan ikut cantik mana kita main, tapi siapa yang jaringkan gol. Saya percaya skuad ini ada potensi, cuma beri masa,” ujarnya.

Nada serupa turut disuarakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyeru penyokong dan penggiat bola sepak tempatan untuk terus menyokong usaha pembangunan skuad pelapis.

“Satu kali gagal bukan bermakna mereka tiada peluang. Kita perlu sokong semua pasukan pelapis ini, bukan hanya fokus kepada skuad utama,” katanya.

Menurut beliau, perhatian menyeluruh terhadap pembangunan pasukan kebangsaan di semua peringkat umur adalah kunci utama kesinambungan dan masa depan bola sepak negara.

“Kalau pelapis pun kita abaikan, bagaimana bola sepak negara mahu pergi jauh?,” ujar Hannah.

Kegagalan ke separuh akhir turut mencetus kebimbangan mengenai persediaan skuad B-23 menghadapi cabaran lebih besar seperti kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA hujung tahun ini.

Namun dengan keyakinan yang ditunjukkan FAM dan KBS, jelas harapan masih menyala untuk barisan muda negara membuktikan kemampuan mereka asalkan diberi peluang dan kepercayaan yang berterusan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN