Tidak perlu rayu kes ke Tribunal Swiss

Tidak perlu rayu kes ke Tribunal Swiss

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disarankan menerima keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dengan berlapang dada dan memberi tumpuan kepada usaha membina semula reputasi badan induk bola sepak negara tersebut.

Pandangan tersebut disuarakan oleh peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli yang berpendapat, FAM wajar mengambil pendekatan lebih realistik selepas keputusan rayuan yang dibuat sebelum ini tidak memihak kepada badan induk itu.

Menurutnya, walaupun FAM masih mempunyai ruang untuk membawa kes itu ke Tribunal Persekutuan Swiss (SFT), iaitu mahkamah tertinggi di Switzerland, peluang untuk mengubah keputusan tersebut dilihat amat tipis.

“Rayuan ditolak kerana memang berlaku pemalsuan dokumen. Apa-apa hujahan untuk menyatakan bahawa tidak berlakunya pemalsuan adalah ditolak.

“Memang tiada lagi ruang merayu. Ini adalah rayuan terakhir. Ini keputusan akhir. Dapatan bahawa berlakunya ‘falsification of document’ kekal.

“Sangat sedikit alasan yang boleh digunakan untuk ke Mahkamah Swiss. Saya tak merasakan timbul apa-apa alasan kuat untuk FAM terus membela diri,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Khamis lalu, CAS menolak rayuan FAM dan mengesahkan dokumen yang digunakan bagi melayakkan tujuh pemain mewakili skuad kebangsaan sebelum ini adalah palsu.

Tujuh pemain yang terlibat ialah Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, João Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.

Berikutan keputusan itu, tiada lagi jalan pintas buat ketujuh-tujuh pemain tersebut untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya menggunakan status warisan.

Jelas Nik Erman, keputusan CAS berkenaan turut memperlihatkan pemain terbabit tidak boleh lagi mewakili Malaysia melalui saluran tersebut walaupun selepas tempoh penggantungan berakhir.

“Pemain-pemain ini tidak layak untuk mewakili Malaysia walaupun selesai menjalani penggantungan selama 12 bulan. Mereka kekal tiada darah Malaysia.

“Mereka hanya boleh mewakili Malaysia jika berada di sini selama lima tahun menerusi proses naturalisasi,” jelasnya.

CAS turut mengekalkan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan penggantungan selama 12 bulan dan denda terhadap pemain terlibat, namun hukuman itu hanya melibatkan perlawanan rasmi dan tidak merangkumi aktiviti lain seperti latihan.

Selain itu, CAS juga menolak rayuan FAM berkaitan hukuman denda sekali gus mengekalkan penalti RM1.7 juta yang dikenakan terhadap badan induk bola sepak negara tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN