PETALING JAYA: Kongres pemilihan pucuk pimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka dibuat selewat-lewatnya pada tahun hadapan selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selesai meneliti dan menyusun semula pentadbiran badan induk itu.
Sebelum ini, AFC menyatakan memerlukan masa tiga hingga empat bulan untuk melakukan pembaharuan di FAM, namun menurut sumber, tempoh yang lebih lama diperlukan untuk memperbetulkan semua aspek dalam badan induk bola sepak itu.
“Saya rasa pemilihan saf kepimpinan baharu FAM tidak akan dibuat dalam masa terdekat, mungkin tahun hadapan kerana AFC memerlukan masa untuk melakukan penelitian dan menyusun semula semua urus tadbir dalam badan induk bola sepak negara.
“Sekarang semua bahagian dalam siasatan AFC, lebih-lebih lagi apabila keputusan CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan) yang tidak memihak kepada FAM dan tujuh pemain warisan. Jadi, lebih elok bagi masa untuk AFC buat kerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut sumber itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) juga akan menghantar wakil untuk menyertai pasukan AFC dalam melakukan siasatan dan penambahbaikan dalam urus tadbir FAM ketika ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan, proses FAM sudah memasuki fasa pertama dengan AFC sedang mengumpul dokumen diminta daripada badan induk itu selain pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan FIFA.
“Fasa pertama adalah pengumpulan dokumen yang diminta oleh AFC dan FIFA, yang perlu dikemukakan kepada AFC sebab dalam konteks penilaian ini, AFC akan memainkan peranan yang lebih besar daripada FIFA kerana ibu pejabat AFC di Malaysia.
“Itu pertama sekali, untuk mendapat semua dokumen daripada statut yang terkini hingga polisi sumber manusia. Semua sekali, peraturan, polisi dan sebagainya, senarai yang sangat panjang daripada FAM untuk diteliti oleh pakar-pakar yang kita ada dalam AFC sendiri,” katanya.
Selain itu, Windsor menjelaskan bagi fasa kedua pula membabitkan temu bual dengan staf, pihak pengurusan, pemegang taruh dan sebagainya untuk mendapat gambaran yang jelas sebelum satu laporan atau pun cadangan dibuat.
“Contohnya, kalau kita ambil statut FAM, buat masa ini statut FAM tidak melanggar statut FIFA ataupun AFC. Tetapi bukan maksudnya tidak lawan atau pun tidak bercanggah, statut itu adalah statut yang terbaik.
“Jadi kita nak memperbaiki statut, menambah nilai statut untuk memastikan statut FAM berada di satu tahap yang tertinggi, relevan dengan perkembangan bola sepak pada hari ini. Itu yang kita nak buat dari segi statut.
“Apabila kita lihat statut itu, ada banyak artikel kita kena lihat dan memperbaiki supaya perkara yang mungkin kita nak hindari daripada berlaku pada masa hadapan. Kita akan memperhalusi statut dahulu sebelum kita lihat kepada apa dokumen lain,” katanya. – UTUSAN










