Speedy Tigers perlukan kualiti antarabangsa

Speedy Tigers perlukan kualiti antarabangsa

Pemain Malaysia mengasak kubu New Zealand dalam perlawanan pembukaan Piala Negara-Negara 2025 baru-baru. Malaysia gagal mencapai matlamat untuk sekurang-kurangnya mara ke saingan separuh akhir. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekurangan pemain berkualiti antarabangsa antara punca kepada pasukan hoki kebangsaan gagal melangkah lebih jauh dalam kejohanan yang disertai, kata bekas pemain negara, Maninderjit Singh.

Maninderjit yang beraksi pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Sydney 2000 berkata, tidak ramai pemain yang membarisi pasukan negara ketika ini mempunyai kualiti setanding di peringkat antarabangsa.

“Mungkin mereka pemain kebangsaan atau mewakili negara tetapi anda kena faham kualiti pemain kebangsaan dengan pemain antarabangsa adalah dua tahap berbeza.

“Jadi, apabila kita lawan dengan pasukan handalan sebagai contoh seperti Jerman, Belanda dan Sepanyol, pasukan mereka ada 20 pemain kualiti peringkat antarabangsa.

“Jadi, apabila nak bersaing dengan kelompok pemain ini, itulah perbezaan jurang yang dihadapi, sekarang kita perlu hasilkan pasukan di peringkat antarabangsa bukan pasukan kebangsaan,” katanya.

Speedy Tigers mengakhiri cabaran Piala Negara-Negara di tempat keenam selepas tumpas 2-1 kepada Wales dalam aksi penentuan tempat kelima malah Maninderjit turut menyarankan agar satu program khas dapat diwujudkan bagi menghasilkan pemain berkualiti tinggi seperti skuad Projek 2013.

“Masa saya terlibat dengan Projek 2013 untuk Piala Dunia Remaja di India yang mana projek ini saya kendalikan pada Julai 2009. Pasukan itu kita kendalikan dengan satu syarat, kita nak bina pasukan yang berkualiti di peringkat antarabangsa.

“Persediaan pemain dari seluruh aspek seperti kekuatan fizikal, mental, kecergasan dan lain-lain yang mana semuanya dibuat mengikut spesifikasi antarabangsa. Skuad itu menjuarai Piala Hoki Remaja Asia pada 2012 sebelum menamatkan kempen Piala Dunia Remaja 2013 di tempat keempat.

“Kesan daripada projek itu kita dapat hasilkan 12 pemain mewakili negara antaranya Hafizuddin (Othman), Faizal dan Fitri (Saari), Shahril Saabah serta Ramadan Rosli,” katanya.

Malaysia yang diletakkan sasaran layak separuh akhir Piala Negara-Negara berpeluang untuk menamatkan saingan kumpulan dalam dua pasukan teratas namun kegagalan menjaga gawang gol terutamanya pada minit terakhir permainan telah menafikannya.

Pengurusan kad yang lemah turut menjadi punca kepada kegagalan Malaysia apabila pemain Speedy Tigers digantung selepas mengutip kad kuning dan hijau sekali gus memberi ruang kepada lawan untuk mendapatkan jaringan.

Bagaimanapun, pertahanan Malaysia memainkan peranan dengan baik apabila bolos enam kali daripada 28 pukulan sudut penalti yang diberikan kepada lawan sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN