FAM akan sekat penyertaan pasukan MPFL gagal lunas tunggakan gaji

FAM akan sekat penyertaan pasukan MPFL gagal lunas tunggakan gaji

PEMAIN-PEMAIN Kelantan FT semasa majlis pelancaran jersi baharu dan pengenalan pemain yang bakal beraksi dalam sainga MPFL Divisyen 2 yang membuka tirai pada Sabtu ini pada majlis Pelancaran Jersi & Memperkenalkan Pemain Kelantan FT di Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyekat penyertaan mana-mana pasukan futsal di dalam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) pada musim akan datang, sekiranya gagal melunaskan tunggakan gaji pemain.

Naib Presidennya, Datuk Seri Rosmadi Ismail mengakui, saingan MPFL turut terpalit dengan isu tunggakan gaji pemain, namun tidak melibatkan peratus yang besar.

“Saya difahamkan oleh urusetia FAM bahawa pasukan terbabit telah berjaya menyelesaikan masalah berkenaan dan saya nasihatkan agar kesemua pasukan berbelanja mengikut kemampuan.

“Kalau boleh utamakan pemain-pemain bersesuaian dengan bajet tahunan yang disediakan oleh pihak pengurusan pasukan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Pemain dan Perasmian Jersi Pasukan Futsal Kelantan (Kelantan FT), di sini hari ini.

Beliau memberitahu, FAM tidak mempunyai pemantauan khusus berkaitan keupayan sesebuah pasukan futsal memayar gaji pemain tetapi akan memperoleh maklumat mengenai masalah kewangan pasukan apabila terdapat laporan atau aduan daripada pihak pemain.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Kelantan FT kerana dapat menghantar sebuah pasukan untuk memeriahkan MPFL Divisyen 2 (MPFL 2) yang akan membuka tirai di Kuala Lumpur, pada Sabtu ini.

“Kelantan FT selaku juara bertahan MPFL 2 akan bermain pada hari pertama dalam pertembungan adik beradik, dengan lawan yang bakal dihadapi adalah pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

“FAM sebenarnya sudah memberi peluang kepada Kelantan FT utnuk melangkah ke MPFL 1 selepas muncul juara divisyen 2 pada musim lalu tetapi berikutan persediaan mereka belum sampai ke tahap itu, mereka bersetuju untuk terus bersaing dalam MPFL 2,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan penganjuran MPFL 1 dan 2 telah memberi kesan amat baik kepada arena futsal tempatan terutama pembangunan pasukan futsal kebangsaan.

“Selepas kita menganjurkan kedua-dua kejohanan berkenaan, kita dapat lihat peningkatan memberangsangkan dalam arena futsal tempatan termasuk dalam pembinaan pasukan kebangsaan.

“Boleh dikatakan ramai pemain-pemain berkualiti berjaya dilahirkan daripada saingan MPFL 1 dan 2 yang boleh dipilih serta diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN