TOKYO: Penyalahgunaan cecair vape yang mengandungi ubat penenang, dikenali sebagai ‘rokok zombi’, dilaporkan meningkat dalam kalangan remaja di selatan Jepun.
Peningkatan tersebut mendorong pihak berkuasa memperketatkan pemantauan bagi mengelakkan ia merebak ke seluruh negara.
Menjelang akhir September, 10 individu, kebanyakannya remaja dan golongan muda ditahan di Okinawa kerana memiliki etomidate.
Mei lalu, kerajaan Jepun mengklasifikasikan bahan tersebut yang diketahui menekan aktiviti neuron serebelum penting untuk koordinasi badan, sebagai dadah terlarang.
Pada Oktober, polis menahan ketua sindiket pengedaran dadah, Yuto Agarie kerana didakwa menyimpan kira-kira 63.84 gram (g) cecair mengandungi etomidate di rumahnya di Urasoe untuk tujuan jualan.
Polis percaya kumpulan itu merupakan pembekal utama bahan berkenaan di wilayah tersebut.
Etomidate biasanya digunakan dalam induksi anestesia untuk pembedahan di luar negara.
Penyalahgunaan ubat itu boleh menyebabkan kehilangan kesedaran atau kawalan tubuh serta kekejangan pada tangan dan kaki.
Kerajaan Jepun secara prinsipnya mengharamkan penggunaan, pemilikan dan import bahan tersebut.
Menurut sumber siasatan, dadah itu diiklankan melalui aplikasi pemesejan selamat dan semakin tersebar di media sosial.
Dalam banyak kes, etomidate dihidu melalui rokok elektronik atau peranti vape, sama ada dalam perisa tertentu atau tidak berperisa.
Pada Ogos dan September, tiga lelaki warga China berusia 20-an yang tinggal berhampiran Tokyo ditangkap kerana disyaki menyeludup kira-kira 100g etomidate dari India melalui Singapura.
Menurut Jabatan Kawalan Narkotik Kementerian Kesihatan, mereka disyaki menerima pesanan melalui media sosial, melarutkan bahan berbentuk serbuk itu, membungkus dalam kartrij dan menjualnya secara bersemuka di kawasan metropolitan Tokyo.- AGENSI










