Siapa pilihan Cklamovski?

Siapa pilihan Cklamovski?

Peter Cklamovski
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siapa dan pemain mana yang bakal mewakili Harimau Malaya bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini dijangka terjawab hari ini.

Difahamkan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengumumkan senarai nama pemain terpilih yang terdiri da­ripada campuran pemain tempatan, warisan dan juga naturalisasi.

Skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan pusat sebagai persediaan di Johor memandang­kan aksi menentang Nepal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Sepatutnya, senarai pemain diumumkan kelmarin, namun ia ditangguhkan selepas aksi Johor Darul Ta’zim menentang Bu­riram United dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang diketuai Peter Cklamovski pastinya mempunyai pilihan tersendiri, namun yang mencuri tumpuan pastinya pemain warisan dan naturalisasi baharu.

Untuk pemain tempatan, dijangka terus didominasi oleh pemain Harimau Selatan berdasarkan kualiti pemain yang mereka miliki ketika ini, namun semua jawapan di tangan Cklamovski.

Bagaimanapun, jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berharap beberapa pemain yang mempamerkan aksi terbaik ketika ini diberikan peluang untuk berkhidmat dengan skuad negara.

“Saya harap akan ada nama-nama seperti Faisal Halim, Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Quentin Cheng serta Jimmy Raymond. Nama-nama ini wajar dan patut dipanggil sebenarnya.

“Untuk pemain tempatan lain di JDT, saya rasa memang mereka akan jadi pilihan utama kerana semua tahu kualiti mereka dan untuk aksi menentang Nepal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas tentang pemain naturalisasi sedia ada, Sulaiman berkata, khidmat Paolo Josue dan Endrick Dos Santos masih boleh diharapkan berdasarkan pengalaman dan kebolehan yang dimiliki.

Untuk posisi penjaga gol, Sulaiman juga melihat Ahmad Syihan Hazmi Mohamed masih menjadi pilihan utama selain penjaga gol Selangor Kalamullah Al- Hafiz boleh menjadi penjaga gol kedua Harimau Malaya.

Sementara itu, bekas penye­rang Harimau Malaya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap skuad terbaik diumumkan Cklamovski untuk meraih keputusan positif dalam aksi pertamanya.

“Pemain tempatan rasanya perlu dipanggil yang sedang meningkats dalam liga dan pemain-pemain itu adalah yang sentiasa dipanggil sebelum ini. Antaranya Syihan, Arif Aiman (Hanapi), Afiq Fazail, Syameer Kutty (Abba), Daniel Amer, Safuwan Mazlan, Daren Lok, Daniel Ting, Akhyar dan beberapa pemain lain,” katanya.

Yang paling ditunggu-tunggu peminat bola sepak tempatan pastinya pemain warisan dan naturalisasi baharu kerana kehadiran mereka ini diharap mampu memberi impak besar kepada Harimau Malaya.

Untuk pemain naturalisasi, difahamkan tiga pemain sudah melepasi syarat untuk mewakili Harimau Malaya iaitu Bergson Da Silva dan Manuel Hidalgo (JDT) selain Jordan Mintah dari Kuching City FC.

Bagi pemain warisan baharu pula, difahamkan terdapat empat pemain daripada pelbagai posisi akan memperkuatkan skuad kebangsaan, namun jangan terkejut jika ada lebih ramai pemain warisan diumumkan nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN