LIPIS: Operasi kantin sekolah yang mempunyai pelajar berbilang kaum dan agama perlu dibuka pada bulan Ramadan selari dengan konsep Malaysia Madani.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, tidak ada keperluan untuk menutup operasi kantin semasa Ramadan demi menghormati hak pelajar bukan Islam.
Beliau berkata, adalah tidak wajar memaksa murid bukan Islam untuk berpuasa sekiranya melihat ada rakan lain menjalani ibadat tersebut.
“Kita hendaklah bersifat inklusif menghormati bulan Ramadan, jadi kita perlu memaklumkan pada anak-anak bahawa Ramadan merupakan bulan ibadat.
“Dalam masa yang sama proses untuk memahamkan yang lain itu juga harus bermula, tetapi tidak bermakna mereka harus dipinggirkan dan tidak ada ruang untuk anak-anak makan,” katanya
Beliau sebelum itu melawat operasi Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) Secara Rintis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di sini, semalam.
Fadhlina berkata, hak pelajar bukan Islam juga perlu diberi ruang bagi mengikuti ibadat ini, tetapi pada masa yang sama perlu disokong dan disantuni oleh pihak sekolah.
Beliau berkata, adalah tidak menjadi masalah untuk terus menyantuni murid berkenaan kerana mereka tidak terlibat dalam berpuasa.
Menurutnya, mereka sebahagian daripada rakyat Malaysia yang melihat anak-anak orang Islam yang lain berpuasa, tetapi mereka tidak terlibat dalam ibadat itu, jadi pelajar terbabt boleh melakukan aktiviti mereka seperti biasa. – UTUSAN










