ANKARA: Bekas presiden kelab bola sepak Ankaragucu dari Turkiye, Faruk Koca, dijatuhi hukuman hampir empat tahun penjara kerana kesalahan menyerang pengadil, Halil Umut Meler pada akhir tahun lalu.
Koca terlibat dalam salah satu skandal terbesar sejarah bola sepak Turkiye apabila beliau masuk ke padang dan memukul Meler di muka, menyebabkan pengadil itu pengsan selepas perlawanan antara Ankaragucu dan Rizespor berakhir yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.
Susulan insiden itu, Persekutuan Bola Sepak Turkiye telah menangguhkan semua perlawanan liga dan Koca diharamkan daripada terbabit dalam bola sepak seumur hidup.
Dalam masa sama, pejabat pendakwa Turkiye membuka kes jenayah terhadapnya kerana memukul pengadil, malah turut mengancam untuk membunuh Meler.
Selepas dibicara, mahkamah Turkiye membuat keputusan berkaitan kes Koca dengan menjatuhkan hukuman penjara selama 3 tahun, 7 bulan dan 22 hari.
Selain daripada hukuman itu, Koca turut dikenakan hukuman penjara untuk dua tuduhan lain iaitu ancaman terhadap pengadil yang menyaksikan beliau dijatuhi hukuman penjara yang ditangguhkan selama enam bulan dan 20 hari.
Tuduhan kedua pula, bagi kesalahan melanggar undang-undang pencegahan keganasan dalam sukan, Koca dijatuhi hukuman penjara yang selama lima bulan. – AGENSI/UTUSAN










