JOHOR BAHRU: Skuad hoki remaja kebangsaan menamatkan kempen Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di tangga tercorot selepas tewas 5-2 kepada Jepun menerusi penentuan penalti setelah perlawanan terikat 2-2 petang tadi.
Ini merupakan persembahan terburuk pasukan Young Tigers dalam sejarah penganjuran SOJC sejak 2011 apabila tewas dalam semua perlawanan peringkat kumpulan dan hari terakhir kejohanan.
Pada suku pertama, tidak banyak aksi menarik dapat diperkatakan setelah kedua-dua tampak berhati-hati mengatur serangan untuk mendapatkan gol pembukaan.
Peluang buat pasukan kendalian ketua jurulatih, I. Vikneswaran hadir pada minit ke-12 menerusi pukulan sudut penalti namun ia gagal dimanfaatkan Adam Ashraf Mohd. Johari setelah pukulan diambil tersasar ke kanan pintu gol Jepun.
Peluang terbaik pasukan negara matahari terbit itu hadir pada penghujung suku kedua menerusi Naru Kimura namun berjaya ditepis keluar Mohamad Rafaizul.
Young Tigers akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan menerusi gol padang Che Nur Aqilrullah Che Mohd. Khairulzi Anwar yang bijak menyambut pukulan Hariss Iskandar Osman pada minit ke-33.
Kealpaan benteng pertahanan pasukan tuan rumah dihukum apabila Tsubasa Tanaka yang melancarkan serangan dari kanan padang memerangkap penjaga gol, Mohamad Rafaizul sebelum melorongkan bola kepada Yuto Higuchi yang mudah menolak bola ke dalam gawang tidak berkawal pada minit ke-48.
Dua minit berselang, Young Tigers sekali lagi berada di hadapan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Harris Iskandar pada minit ke-50.
Dua minit sebelum masa sebenar tamat, Jepun dihadiahkan penalti pada minit ke-58 dan peluang keemasan itu disempurnakan Jun Watanabe lalu mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
Kapten pasukan, Yamato Kawahara menghadiahkan kemenangan buat pasukan Jepun apabila meledak gol penalti ketiga pasukan setelah tiga pemain Malaysia gagal menyudahkan penalti tersebut. – UTUSAN










