PETALING JAYA: Ketua jurulatih hoki kebangsaan, Sarjit Singh mahu skuad Speedy Tigers turun beraksi dengan mentaliti juara menjelang saingan Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia, pada Ahad depan.
Sarjit berkata, pemain perlu mempamerkan semangat luar biasa agar sentiasa menunjukkan aksi konsisten dengan matlamat memburu kemenangan sekali gus layak ke separuh akhir terlebih dahulu sebelum memasang impian bergelar juara.
“Untuk kejohanan ini, apa yang kami barisan kejurulatihan mahu pemain tunjukkan adalah peningkatan prestasi mereka daripada satu ke satu perlawanan selain perlu ada penambahbaikan kualiti permainan daripada kejohanan yang lepas.
“Kami juga mahukan pemain konsisten setiap kali turun beraksi kerana kami mahukan perkembangan yang positif untuk jangka masa panjang dan kami barisan kejurulatihan berharap pemain akan sekurang-kurangnya ke separuh akhir.
“Harapan barisan kejurulatihan pastinya mahu melihat perkembangan positif pasukan dari semasa ke semasa dan setiap pemain mengambil tanggungjawab penuh apabila beraksi di atas padang kerana mereka membawa nama Malaysia,” kata Sarjit.
Pentas final sepatutnya menjadi sasaran utama Speedy Tigers pada ACT musim ini selepas muncul sebagai naib juara pada edisi lalu di Chennai, India sekali gus memburu gelaran sulung pada kejohanan yang dianjurkan sejak 2011 itu.
Berdasarkan senarai 19 pemain terpilih, 13 daripadanya seperti kapten, Muhammad Marhan Jalil, Faiz Helmi Jali, Mohd. Fitri Saari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Shello Silverius dan Faizal Saari tidak lagi ‘mentah’ di pentas antarabangsa.
Rata-rata sudah bermain sekurang-kurangnya dua edisi Piala Dunia selain skuad kali ini juga telah didedahkan dengan pelbagai aksi antarabangsa tahun ini termasuk Piala Sultan Azlan Shah, Piala Negara-Negara FIH dan Siri Jelajah Eropah.
Speedy Tigers akan memulakan kempen yang berformat liga sepusingan menentang Pakistan pada 8 September ini diikuti China (9 September), juara bertahan, India (11 September), Jepun (12 September) dan Korea Selatan (14 September).-UTUSAN










