PETALING JAYA: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) perlu merencanakan strategi baharu bagi meneruskan kesinambungan kilauan pingat emas pada temasya empat tahun sekali itu.
Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris 2024, Datuk R. Subramaniam selepas Malaysia hanya membawa pulang dua emas pada Paralimpik Paris.
“Secara peribadi, kita kena tukar strategi untuk mencari bakat baharu dan bangunkan mereka. kita kena bandingkan diri sendiri dengan lawan.
“Jika nak pergi berperang kita mesti tahu dan memahami musuh kita. Begitu juga dalam konteks sukan, jika tidak kenal lawan bermakna kita sudah tewas sebelum bermula,” katanya.
Kontinjen para negara yang diletakkan sasaran empat emas hanya membawa pulang dua emas menerusi jaguh badminton, Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin.
Dua perak diperolehi daripada dua jaguh olahraga iaitu Datuk Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh lelaki T20 dan Muhammad Ziyad Zolkefli yang sebelum ini merupakan sandaran utama emas negara.
Satu gangsa diperolehi daripada wajah baharu iaitu Eddy Bernard dalam acara 100 meter (m) T44 (kecacatan fizikal).
Dalam pada itu, Subramaniam mengakui suntikan dana yang banyak diperlukan bagi membantu MPM bertujuan untuk melakukan pencarian bakat baharu.
“Dana kerajaan perlu dikaji semula bagaimana peruntukan tersebut digunakan untuk pembangunan sukan para dan apabila gerakan ini sudah ada, anda akan dapat lebih banyak bakat baharu,” katanya.-UTUSAN










