Pelajar antarabangsa di UA hanya 8.9 peratus - KPT

Pelajar antarabangsa di UA hanya 8.9 peratus – KPT

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan dakwaan kemasukan pelajar antarabangsa ke Universiti Awam (UA) mengurangkan peluang pelajar tempatan untuk melanjutkan pengajian adalah tidak berasas dan mengelirukan.

KPT berkata, dakwaan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah itu juga gagal menggambarkan realiti sebenar sistem pendidikan tinggi negara.

Katanya, kenyataan sedemikian bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, malah boleh menjejaskan reputasi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia di mata dunia.

“KPT menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas, mengelirukan dan gagal menggambarkan realiti sebenar sistem pendidikan tinggi negara.

“Agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi bukanlah dasar baharu atau dasar yang diwujudkan secara ad hoc.

“Ia merupakan dasar kebangsaan yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak lebih dua dekad lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, KPT berkata, dasar itu dilaksanakan selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) 2007 bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Katanya, berdasarkan data rasmi menerusi sistem MyMoheS sehingga 31 Disember 2025, jumlah keseluruhan enrolmen pelajar di IPT awam dan swasta adalah seramai 1,264,541 orang.

“Daripada jumlah itu, pelajar antarabangsa hanya seramai 159,138 orang atau sekitar 12.6 peratus.

“Bagi UA pula, jumlah keseluruhan enrolmen adalah seramai 634,706 orang, manakala pelajar antarabangsa hanya 56,565 orang atau 8.9 peratus daripada keseluruhan enrolmen,” katanya.

KPT berkata, jumlah pelajar prasiswazah di UA adalah seramai 520,105 orang, dengan 502,212 daripadanya merupakan pelajar Malaysia atau 96.56 peratus.

Katanya, pelajar antarabangsa bagi peringkat prasiswazah pula hanya 17,893 orang atau 3.44 peratus.

“Data ini dengan jelas menunjukkan bahawa majoriti pelajar antarabangsa berada di peringkat pascasiswazah, bukannya bersaing mendapatkan tempat bersama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi atau diploma yang memohon ke program prasiswazah,” katanya.

Menurut KPT, dalam sistem UA, program prasiswazah memberi penekanan kepada penyediaan akses pendidikan tinggi kepada pelajar tempatan sebagai keutamaan, manakala pelajar antarabangsa diterima berdasarkan prinsip over and above.

Katanya, program pascasiswazah pula terbuka kepada pelajar tempatan dan antarabangsa berdasarkan kelayakan akademik serta kapasiti penyelidikan universiti.

“Kedua-dua kategori itu mempunyai objektif, mekanisme kemasukan dan sasaran berbeza.

“Justeru tindakan menggabungkan jumlah pelajar prasiswazah dan pascasiswazah bagi mewujudkan persepsi pelajar antarabangsa mengambil tempat pelajar tempatan adalah tidak tepat,” katanya.

Dalam pada itu, KPT turut menolak dakwaan bahawa pelajar antarabangsa di lima Universiti Penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merampas tempat pelajar tempatan.

“Bagi lima universiti berkenaan, seramai 145,727 orang atau 78 peratus daripada keseluruhan enrolmen merupakan pelajar tempatan, manakala 41,097 orang atau 22 peratus lagi ialah pelajar antarabangsa.

Daripada jumlah pelajar antarabangsa itu, seramai 28,135 orang atau 68.5 peratus berada di peringkat pascasiswazah,” katanya.

KPT berkata, kemasukan pelajar antarabangsa bagi peringkat prasiswazah pula dibuat melalui laluan terbuka iaitu selepas kuota arus perdana UPUOnline dipenuhi terlebih dahulu.

Katanya, kehadiran pelajar antarabangsa di peringkat pascasiswazah merupakan satu keperluan strategik bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan negara, khususnya di universiti penyelidikan.

“Pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di Malaysia membayar yuran penuh tanpa menerima subsidi kerajaan, perlu memenuhi syarat akademik serta proses saringan universiti yang sama ketat.

“Mereka juga menyumbang kepada pengukuhan kewangan universiti melalui pembayaran yuran, membantu universiti menambah baik kemudahan pembelajaran dan penyelidikan serta meningkatkan kerjasama penyelidikan antarabangsa,” katanya.

KPT berkata, kehadiran pelajar antarabangsa turut memperkukuh interaksi silang budaya dan menyediakan pengalaman global kepada mahasiswa tempatan tanpa perlu meninggalkan negara.

Menurut kementerian itu, Malaysia kini menjadi destinasi pilihan pelajar daripada lebih 180 negara hasil pengiktirafan terhadap kualiti program akademik, kecemerlangan penyelidikan, kepakaran tenaga akademik serta kos pendidikan yang kompetitif.

“KPT ingin menegaskan bahawa kepentingan, kebajikan dan akses pendidikan pelajar tempatan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Madani.

“Malaysia akan terus melaksanakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi secara strategik dan bertanggungjawab tanpa sesekali mengorbankan hak, peluang dan masa hadapan pelajar Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN