ISKANDAR PUTERI: Pembentukan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sesi libat urus penubuhan suruhanjaya tersebut kini sedang giat digerakkan bertujuan menyelaras dan memperkukuh ekosistem kemahiran negara.
“Saya fikir pada akhir tahun ini, kita akan muktamadkan segala-galanya dan kita akan buat pembentangan dalam sesi sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada akhir tahun ini.
“Sesi libat urus untuk pembentukan Suruhanjaya TVET itu sedang dijalankan dan apabila sesi libat urus ini telah selesai, kita akan mengemukakan kertas kepada kabinet untuk mendapatkan kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Jelajah TVET Majlis Amanah Rakyat (MARA) Johor Darul Ta’zim di Educity Sports Complex, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kelulusan di peringkat dasar penubuhan Suruhanjaya TVET itu sudah diperoleh dengan suruhanjaya itu akan berfungsi sebagai badan pemantau pusat yang lebih sistematik dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selari kehendak industri.
“Suruhanjaya ini bukan hanya soal dasar, tetapi soal pelaksanaan dan juga penguatkuasaan pada dasar-dasar yang ditentukan dalam mana-mana suruhanjaya,” katanya.
Mengulas mengenai program jelajah tersebut, Ahmad Zahid berkata, program anjuran MARA itu bertujuan mempromosikan produk-produk pendidikan TVET melibatkan 270 institusi TVET di bawahnya.
“Kita lihat bahawa kebolehpasaran lulusan institusi TVET MARA ini kira-kira 99.5 peratus dan ini merupakan satu pencapaian tertinggi setakat ini dan kita berhasrat untuk mencapai angka 100 peratus,” ujarnya. – UTUSAN










