ALOR SETAR: Kadar bayaran pajakan Pulau Pinang berjumlah RM10,000 setahun serta pemberian sumbangan khas sebanyak RM10 juta setahun yang bermula pada 2018 kepada kerajaan negeri Kedah tidak lagi setimpal dengan nilai semasa.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin, Sultan Badlishah bertitah, bayaran pajakan yang diterima kerajaan negeri ketika ini masih berasaskan perjanjian yang dimeterai sejak sekian lama.
“Beta ingin memperingatkan akan hak dan kedaulatan Negeri Kedah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihormati oleh semua pihak.
“Bayaran pajakan Pulau Pinang yang diterima oleh kerajaan beta adalah berasaskan perjanjian yang telah lama dimeterai. Namun, kadar yang dibayar pada masa ini adalah jauh lebih rendah berbanding nilai yang sewajarnya.
“Dalam hal ini, Beta mahu Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa berdasarkan semangat dan maksud asal perjanjian tersebut,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-84 di Istana Anak Bukit, hari ini.
Pada 2021, kerajaan negeri menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan selepas mendapati ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.
Dalam pada itu, baginda bertitah, hak dan kuasa negeri untuk mengurus serta meneroka sumber mineral strategik seperti Unsur Nadir Bumi (REE) hendaklah dihormati dan dipermudahkan oleh semua pihak kerana Kedah merupakan negeri yang kaya dengan sumber hasil bumi.
Baginda mahu Kerajaan Persekutuan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan tiada halangan pentadbiran yang boleh menjejaskan usaha pembangunan dan penerokaan sumber negeri.
“Amatlah rugi sekiranya perkara ini gagal dilaksanakan, hanya disebabkan perbezaan pandangan dan pemahaman politik, sehingga membelakangkan hak dan keperluan negeri,” titah baginda. – UTUSAN










