Pembangunan Pulau Langkawi ikut acuan, identiti sendiri

Langkawi ikut acuan sendiri, bukan Phuket atau Bali – Sultan Kedah

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-84 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menegaskan Pulau Langkawi merupakan aset strategik kepada Kedah dan negara yang perlu dibangunkan mengikut acuan serta identiti tersendiri.

Baginda bertitah, pembangunan pulau peranginan itu tidak seharusnya meniru atau dibandingkan dengan destinasi pelancongan lain seperti Phuket atau Bali kerana kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi serta warisan unik dimilikinya.

“Sebagai destinasi pelancongan utama serta pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri, beta mahu pembangunan Pulau Langkawi dibentuk mengikut acuan dan identiti tersendiri, tanpa meniru atau membandingkan seperti Phuket atau Bali. 

“Aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari. Beta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan membuat sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mencemarkan imej dan reputasi Pulau Langkawi,” titah baginda pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-84 di Istana Anak Bukit, hari ini.

Pada 5 Mei lalu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa, Langkawi jauh ketinggalan di belakang Phuket dan Bali selain mengingatkan kerajaan negeri agar tidak ‘syok sendiri’ dengan statistik ‘suam-suam kuku’ iaitu 3.2 juta pelancong tahun lalu.

Beliau berkata, Phuket mencatat sekurang-kurangnya 12.74 juta pelancong dalam tempoh Januari hingga November 2025 dan dianggarkan melebihi 13 juta bagi keseluruhan tahun yang hampir empat kali ganda lebih tinggi berbanding Langkawi, sekali gus membuktikan jurang daya saing yang semakin melebar. 

Katanya, Bali pula mencatat 33.56 juta pelancong pada 2025 dengan kadar peningkatan bilangan pelancong di destinasi pelancongan itu sebanyak 17.16 juta orang dari 2024 ke 2025.

Dalam perkembangan lain, Sultan Kedah melahirkan kebimbangan terhadap kelewatan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur strategik termasuk Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit yang masih belum disiapkan sejak sekian lama.

“Kelewatan ini mengakibatkan kejadian banjir berulang dan menjejaskan penduduk di kawasan terlibat. Beta mahu tindakan segera diambil agar rakyat beta tidak lagi dibebani masalah yang sama,” titah baginda.

Baginda turut mengambil maklum pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan yang sedang dilaksanakan di Kedah dan berharap segala usaha berterusan perlu memberi impak kepada rakyat, sekali gus memastikan kesejahteraan dapat dinikmati secara menyeluruh dan berkekalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN