LONDON: Aaron Wan-Bissaka mengakui beliau tidak sabar untuk turun beraksi bersama kelab baharunya selepas West Ham United melengkapkan perjanjian membelinya daripada Manchester United dengan nilai 15 juta pound (RM85.4 juta) semalam.
Wan-Bissaka bersetuju dengan kontrak tujuh tahun bersama The Hammers selepas menghabiskan lima tahun di Old Trafford dengan beraksi dalam 190 perlawanan untuk The Reds Devils selepas tiba dari Crystal Palace pada 2019.
Beliau tampil ketika kemenangan mengejut United pada final Piala FA menentang Manchester City musim lalu, namun tidak berada dalam perancangan pengurus United, Erik Ten Hag bagi musim baharu.
“Satu perasaan mengagumkan untuk kembali ke London dan saya teruja dengan apa yang mendatang. aya dilahirkan di sini dan saya tahu serba-serbi mengenai London.
“London menjadi sebahagian besar kehidupan saya, jadi untuk kembali beraksi di bandar raya ini amat bermakna buat saya,” kata Wan-Bissaka selepas secara rasmi menjaid pemain West Ham.
Wan-Bissaka adalah pembelian kelapan West Ham musim baharu ini selepas kehadiran Jean-Clair Todibo, Crysencio Summerville, Luis Guilherme, Niclas Fullkrug, Wes Foderingham, Max Kilman dan Guido Rodriguez.
“Saya tidak sabar untuk turun ke padang, untuk mengenali pemain dan bermula dari sana,” kata Wan-Bissaka.
Pengarah teknikal Hammers, Tim Steidten berkata, pengalaman Wan-Bissaka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pasti berharga buat bos baharu kelab itu Julen Lopetegui.
Dia mungkin akan membuat penampilan sulung bersama West Ham bagi aksi pertama EPL menentang Aston Villa awal pagi Ahad ini. – AGENSI










