PETALING JAYA: Selain badminton, berbasikal trek, terjun dan angkat berat, misi memburu pingat emas pada Sukan Olimpik kini turut digalas acara baharu iaitu skuasy pada temasya di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), empat tahun lagi.
Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Sharon Wee amat berharap sasaran yang diletakkan ke atas barisan pemain skuasy perlulah berlandaskan kepada keputusan yang realistik kerana cabaran itu tidak mudah.
“Kita masih menanti pingat emas dan ia merupakan satu sasaran yang paling ideal, tetapi perjalanan empat tahun lagi itu yang paling penting.
“Ia merupakan satu perjalanan yang tidaklah pendek sangat dan sepanjang tempoh itu kita tak boleh kata hari ini kita bekerja keras dalam latihan dan esok sudah boleh menewaskan pemain No. 1 dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sharon yang merupakan bekas pemain skuasy kebangsaan itu berkata, setiap sasaran yang diletakkan perlulah realisitik dan pengumpulan data pemain amat penting bagi melihat statistik kemajuan mereka.
“Kita kena ikut perjalanan atlet kita, melalui setiap kejohanan siapa yang mereka kalahkan, siapa berjaya mereka kejutkan dan siapa pula yang menewaskan mereka.
“Dari situ baru kita dapat tahu secara realiti kebarangkalian sama ada skuasy mampu menang pingat emas untuk Malaysia,” tegasnya.
Menurut beliau, misi utama pemain-pemain skuasy yang tersenarai di dalam program Fast Track Road To Gold (RTG) ialah menaikkan ranking dunia masing-masing.
Jelasnya, satu perancangan rapi untuk Ng Eain Yow, S. Sivasangari, Aifa dan Aira Azman perlu disusun daripada sekarang agar mereka mendapat sokongan yang sepatutnya setiap kali menyertai kejohanan di pentas antarabangsa.
“Amat penting keempat-empat pemain ini memiliki tempoh latihan yang mencukupi, selain perlu memastikan kesihatan dan tiada kecederaan menimpa ketika menuju ke LA 2028, jadi, untuk tempoh empat tahun yang ada mereka akan sertai banyak pertandingan untuk menaikkan ranking,” ujarnya.
Apabila ranking dunia dibangkitkan, Sivasangari kini menjadi pemain terbaik Malaysia pada ketika ini dengan kedudukan No. 9 dunia, manakala Eain Yow berada di tangga No. 13 dunia, sementara, pasangan adik beradik Aifa serta Aira masing-masing menghuni ranking ke-35 dan ke-36 dunia.
SRAM, sebelum ini, telahpun mengumumkan bahawa keempat-empat pemain berkenaan bakal mengharungi jadual padat menjelang musim baharu yang akan bermula 26 Ogos ini dengan misi memperbaiki ranking dunia masing-masing.
Buat masa ini, Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) masih belum mengeluarkan syarat-syarat kelayakan pemain untuk LA 2028 dan dijangka akan berbuat demikian pada bila-bila masa yang sesuai kerana Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis telahpun menutup tirai, hujung minggu lalu.-UTUSAN










