PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berpandangan tidak wajar untuk menjemput Singapura kembali beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).
Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, Liga M telah memasuki era profesional dan banyak faktor perlu diambil kira termasuk perlesenan kelab di negara ini.
Katanya lagi, masa untuk Singapura menyertai Liga M sudah berlalu pada era dahulu, malah negara berkenaan juga sudah mempunyai liga sendiri untuk pembangunan bola sepak mereka.
“Kita perlu fokus kepada pengukuhan kelab-kelab tempatan dan bukan kembali kepada masa lalu. Liga M juga masih dalam proses penambahbaikan.
“Mengundang Singapura sebagai pasukan jemputan mungkin boleh dipertimbangkan, tetapi isu kos operasi dan kemampuan pasukan tempatan harus diambil kira.
“Banyak pasukan tempatan kini menghadapi masalah kewangan, dan kos perjalanan ke Singapura yang tinggi mungkin akan membebankan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Firdaus, penekanan harus diberikan kepada penyelesaian isu kewangan dan pengurusan kelab terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang penglibatan pasukan luar.
“Kita perlu pastikan kelab-kelab tempatan stabil dan mampu bertanding dengan baik sebelum kita berfikir tentang melibatkan pasukan luar yang akan memberi kesan kepada kos,” ujarnya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan ada yang berpendapat agar penyertaan pasukan luar dibuka semula untuk memeriahkan semula Liga M khususnya ketika ada beberapa kelab yang gagal mematuhi lesen kebangsaan untuk beraksi di Liga Super.
Penyertaan pasukan luar ini pernah dilakukan pada beberapa musim terdahulu dengan kehadiran pasukan seperti Singapura, Lions XII dan Brunei DPMM yang berjaya memeriahkan saingan liga suatu ketika dahulu.-UTUSAN










