PETALING JAYA: Kabinet campuran dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka dengan gabungan muka lama dan baharu memimpin badan induk bola sepak negara itu.
Bekas ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM, Datuk Rosmadi Ismail melihat gabungan itu menjadi pilihan terbaik dalam menggabungkan kepakaran muka lama di samping sumbangan idea-idea bernas daripada kepemimpinan baharu.
Katanya, walaupun wujud spekulasi mengenai beberapa ‘kem’ dalam perebutan jawatan Presiden FAM, perkara itu tidak perlu diperbesar kerana proses pemilihan kini lebih terbuka selepas penambahbaikan statut.
“Secara jujur saya tidak mengikuti sangat soal kem-kem ini. Tetapi bagi saya, sama ada tiga atau empat calon, yang penting adalah kemampuan, pengalaman dan sokongan majoriti ahli gabungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Rosmadi, perubahan struktur dan kelonggaran syarat pencalonan ketika ini membuka ruang lebih luas kepada ahli gabungan untuk membuat keputusan tanpa sebarang isu monopoli atau kartel seperti didakwa sebelum ini.
Katanya, situasi semasa adalah peluang terbaik untuk transformasi FAM apabila keputusan kini terletak sepenuhnya kepada ahli gabungan termasuk persatuan bola sepak negeri dan kelab.
“Sekarang masa terbaik. Tiada lagi isu tertutup. Ahli gabungan boleh menentukan hala tuju tanpa gangguan atau persepsi negatif luar,” jelasnya.
Mengulas kemungkinan pembentukan kepemimpinan baharu, beliau berpandangan gabungan pemimpin lama dan baharu adalah yang paling sesuai bagi memastikan kesinambungan dan pengalaman dalam pentadbiran bola sepak negara.
“Bola sepak ini bukan mudah. Kalau semua baharu, tiada pengalaman pun susah. Kalau semua lama pun tidak baik. Jadi perlu ada keseimbangan dan pelapis untuk masa depan,” katanya.
Sebelum ini, Kongres Luar Biasa Pertama FAM pada 4 Jun lalu meluluskan pindaan statut yang melonggarkan syarat pencalonan bagi pemilihan kepimpinan badan induk itu.
Menerusi pindaan tersebut, calon jawatan Presiden FAM kini hanya memerlukan minimum empat pencalonan, berbanding enam sebelum ini.
Syarat minimum pencalonan bagi jawatan Naib Presiden 1 dan Naib Presiden 3 turut dikurangkan kepada tiga pencalonan berbanding empat sebelum ini, manakala syarat bagi jawatan Exco dikekalkan iaitu minimum dua pencalonan.
Hanya jawatan Naib Presiden 2 tidak dipertandingkan kerana akan diisi secara automatik oleh presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL). – UTUSAN










