PETALING JAYA: Sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengubah pendekatan pemilihan kepemimpinan dengan meletakkan aspek kompetensi, integriti dan kelayakan profesional sebagai keutamaan, bukannya bersandarkan populariti.
Pandangan itu disuarakan pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid yang berkata, badan induk bola sepak negara memerlukan barisan pemimpin berkemampuan tinggi bagi mendepani cabaran pengurusan sukan moden yang semakin kompleks.
Menurut bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), pemilihan Presiden, Naib Presiden, Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) serta Setiausaha Agung FAM perlu berpaksikan merit dan keupayaan mengurus organisasi, bukannya faktor populariti atau kedudukan dalam persatuan tertentu.
“Bola sepak moden sudah berkembang menjadi satu industri yang sangat besar. Ia melibatkan kewangan, pemasaran, hak penyiaran, perundangan, tadbir urus dan hubungan antarabangsa.
“Jadi, individu yang mahu memimpin FAM perlu mempunyai kemampuan untuk memahami serta membuat keputusan dalam semua aspek ini secara profesional,” katanya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC.
Tambah Muzakkir, antara perkara yang boleh dipertimbangkan adalah mewujudkan standard minimum kelayakan kepada calon yang ingin bertanding dalam pemilihan FAM, termasuk dari sudut akademik dan pengalaman pengurusan.
Menurutnya, langkah tersebut bukan bertujuan menafikan peluang mana-mana individu untuk bertanding, sebaliknya memastikan mereka yang dipilih benar-benar memiliki keupayaan serta kompetensi untuk memikul tanggungjawab besar mengurus hala tuju bola sepak negara.
“FAM bukan organisasi kecil. Setiap keputusan yang dibuat memberi kesan kepada liga domestik, pembangunan akar umbi, pasukan kebangsaan dan hubungan dengan badan induk antarabangsa seperti FIFA serta AFC.
“Sebab itu pemimpin yang dipilih perlu mempunyai kemampuan menilai data, memahami laporan kewangan dan merancang strategi pembangunan secara menyeluruh.
“Jika jurulatih perlu melalui pelbagai peringkat lesen sehingga mencapai tahap profesional, tidak salah untuk kita menetapkan standard tertentu kepada mereka yang mahu memimpin badan induk bola sepak negara,” ujarnya.
Dalam masa sama, Muzakkir menegaskan, aspek integriti perlu diberikan perhatian setara dengan kelayakan akademik, termasuk memastikan calon bebas daripada rekod kebankrapan, kesalahan jenayah berkaitan penipuan atau pecah amanah serta bersedia mengisytiharkan sebarang konflik kepentingan sebelum memegang jawatan.
Sebagai rekod, Kongres Pemilihan FAM bagi barisan kepimpinan baharu penggal akan datang dijadualkan berlangsung pada September ini. – UTUSAN










