TEHERAN: Iran didakwa melancarkan serangan dron terhadap sebuah kapal dagang berbendera Singapura di Selat Hormuz kelmarin, menurut pengesahan seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) kepada CBS News.
Serangan tersebut sekali gus mencabar usaha Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk membuka semula laluan perkapalan kritikal itu.
Menurut Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO), anjungan kapal tersebut mengalami kerosakan selepas ia dilanggar di sebelah kanannya di luar pantai Dahit, Oman.
Nasihat itu menyatakan tiada korban jiwa atau kesan alam sekitar dilaporkan, tetapi punca serangan tidak dinyatakan.
Susulan laporan serangan itu, pihak berkuasa Teluk Parsi Iran, sebuah agensi kerajaan baharu yang ditubuhkan untuk mengawal perkapalan di selat berkenaan, menulis di platform X bahawa transit di luar laluan yang ditetapkan mereka tidak akan dilindungi dan mendapat jaminan laluan selamat.
Insiden itu berlaku selepas Iran mengeluarkan amaran agar kapal berhenti menggunakan laluan selat itu tanpa kebenaran dan ketika usaha antarabangsa untuk membuka semula laluan perkapalan di Teluk Parsi masih berjalan.
Susulan serangan tersebut, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggantung sementara pelan pemindahan kapal-kapal terkandas di rantau itu yang baharu dilancarkan beberapa hari sebelum ini.
Ketua Setiausaha IMO, Arsenio Dominguez berkata, penangguhan itu dibuat bagi memastikan jaminan keselamatan yang diperlukan masih berkuat kuasa.
Dominguez berkata, kapal yang diserang tidak termasuk dalam operasi pemindahan yang sedang dijalankan.
“Saya sentiasa menegaskan keselamatan pelaut adalah keutamaan. Oleh itu, bagi memastikan pendekatan yang diselaraskan dan keselamatan navigasi, pelan pemindahan akan digantung sehingga penjelasan lanjut diperoleh,” kata Dominguez dalam satu kenyataan.
AS dan Iran menandatangani satu memorandum persefahaman minggu lalu sekali gus meningkatkan harapan aktiviti perkapalan akan kembali melalui Selat Hormuz, laluan sempit yang biasanya menyalurkan satu perlima daripada bekalan minyak dunia. Namun, ia ditutup kepada kapal-kapal musuh Iran semasa perang AS-Israel yang bermula 28 Februari sebelum gencatan senjata pada April.
Berdasarkan perjanjian itu, Iran dijangka mengatur laluan selamat tanpa bayaran tol untuk tempoh 60 hari.
Sejak itu, trafik kapal dilaporkan meningkat dengan ketara, dengan 70 kapal belayar melalui selat tersebut pada Selasa, berbanding hanya enam kapal seminggu sebelumnya, menurut data firma analitik Kpler.
Dengan peningkatan semula aktiviti perkapalan, harga minyak global turut merosot dengan ketara. – AGENSI










