PETALING JAYA: Selain mempertahankan pingat emas, jagus lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly turut mengintai peluang untuk sekali lagi memecahkan rekod dunia pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos hingga 8 September ini.
Latif sebelum ini memecahkan rekod dunia dalam lompat jauh kategori T20 (kecacatan intelektual) dengan melakukan catatan sejauh 7.64 meter (m) di Sukan Para Asia 2018 Jakarta, Indonesia.
Pemenangi pingat emas dua kali Sukan Paralimpik itu mengakui dirinya kini berada di tahap terbaik untuk mempertahankan gelaran tersebut walaupun menyedari bakal menerima saingan sengit terutama atlet Rusia, Iakushev Matvei yang kini berada di ranking No. 1 dunia.
“Badan saya bebas daripada kecederaan dan saya sudah bersedia sepenuhnya selepas sebulan bergelut dengan kecederaan tulang rawan di lutut kiri.
“Saya tak pernah berjumpa dengan dia (Matvei) dan berdasarkan ranking dia No. 1, saya tak takut untuk berjumpa dengan dia malah lebih seronok.
“Sasaran saya nak pecahkan rekod dunia sebab kalau saya dapat buat, pingat emas saya boleh bawa balik. Keyakinan saya 100 peratus dan saya berkobar-kobar nak beraksi.
“Tekanan memang dirasai sebab saya nak pertahankan dua gelaran, sangat susah kerana saya perlu konsisten,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi lawatan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2024, Datuk R. Subramaniam ke kem skuad para olahraga di Bukit Jalil semalam.
Atlet kelahiran Perlis itu berjaya memenangi pingat emas buat kali keempat di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun pada Mei lalu selepas memenangi emas pada edisi 2015 di Doha, London (2017) dan Paris (2023).
Catatan terbaik peribadi yang dilakukan Latif pada musim ini adalah 7.73m.-UTUSAN










