MUNICH: Pengendali baharu Bayern Munich, Vincent Kompany memuji mentaliti skuadnya selepas bangkit menewaskan VfL Wolfsburg dalam aksi pembukaan mereka di Bundesliga, semalam.
Jaringan minit ke-82 oleh Serge Gnabry membolehkan Bayern menang 3-2 di Wolfsburg dan memastikan Kompany yang menggantikan Thomas Tuchel lulus ujian pertamanya dalam saingan Bundesliga.
Bayern mendahului menerusi Jamal Musiala minit ke-19 tetapi berdepan detik cemas pada awal babak kedua apabila menghadiahkan penalti dan melakukan kesilapan yang membolehkan tuan rumah di depan.
Namun Gnabry dan Harry Kane bergandingan untuk gol kemenangan dan memastikan tiga mata untuk Bayern.
“Saya menikmatinya dengan baik ketika mengemudi pasukan ini buat kali pertama dalam saingan Bundesliga.
“Babak pertama kami kuasai, tiada gol dilepaskan tetapi babak kedua berubah. Gawang kami bolos dengan pantas. Tetapi mentaliti kami adalah tepat menuju penghujung dan itu sebabnya kami menang perlawanan ini.
“Kesilapan berlaku. Apa yang lebih penting ialah reaksi pasukan dan ia mengambil sedikit masa pada babak kedua. Thomas Mueller dan Kingsley Coman masuk dengan mentaliti yang betul dan tempo datang kembali,” kata Kompany.
Dalam pada itu, pemain tengah Bayern, Joshua Kimmich turut memuji persembahan rakan sepasukannya yang mengekalkan disiplin permainan yang baik sehingga wisel penamat.
“Padang sangat kering, dan permainan terhenti untuk seketika waktu. Namun, kami berpuas hati dengan kemenangan ini dan mentaliti yang ditunjukkan.
“Saya gembira kerana rakan sepasukan dapat mengekalkan rentak permainan yang baik sehingga tamat perlawanan,” kata Kimmich.
Bayern akan menerima kunjungan SC Freiburg dalam aksi kedua Bundesliga hujung minggu ini.-AGENSI










