MUNICH: Juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan slot ke final Liga Juara-Juara Eropah selepas keputusan seri 1-1 menentang Bayern Munich pada aksi separuh akhir kedua di Allianz Arena, awal pagi tadi, sekali gus mara dengan agregat 6-5.
PSG bakal berdepan Arsenal pada perlawanan akhir di Budapest, 30 Mei ini, selepas wakil England itu menyingkirkan Atletico Madrid dengan agregat 2-1.
Perlawanan bermula garang buat PSG apabila Ousmane Dembele meledak gol pembukaan seawal minit ketiga hasil gerakan kemas Khvicha Kvaratskhelia, sekali gus menambah tekanan kepada tuan rumah yang memburu defisit agregat.
Bayern cuba bangkit dengan meningkatkan intensiti serangan, namun percubaan Michael Olise dan Luis Diaz masih belum menemui sasaran tepat meskipun beberapa kali mengancam benteng PSG.
PSG hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-33, tetapi tandukan Joao Neves berjaya ditepis cemerlang oleh penjaga gol berpengalaman, Manuel Neuer.
Di sebelah lain, penjaga gol PSG, Matvei Safonov turut menjadi benteng terakhir apabila menafikan percubaan jarak dekat bintang muda Bayern, Jamal Musiala sebelum rehat.
Memasuki babak kedua, Bayern yang memerlukan sekurang-kurangnya dua gol terus melancarkan serangan bertali arus, namun PSG lebih berdisiplin bertahan sambil mengintai peluang menerusi serangan balas.
Usaha tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Harry Kane menyamakan kedudukan pada masa kecederaan, namun jaringan tersebut hadir terlalu lewat untuk mengubah nasib Bayern dalam saingan.
Gol itu turut menyaksikan Kane mencatat jaringan ketujuh berturut-turut dalam Liga Juara-Juara musim ini, selain mengumpul 55 gol keseluruhan bersama Bayern sepanjang kempen semasa.
Namun, wisel penamat mengesahkan PSG kekal unggul secara agregat 6-5, sekali gus mengekalkan impian mereka mempertahankan kejuaraan Eropah dan melangkah ke pentas final di Budapest.










