Kane 'mesin gol' bantu Bayern raih juara berganda

Kane ‘mesin gol’ bantu Bayern raih juara berganda

Pemain-pemain Bayern Munich meraikan kejayaan menjuarai Piala Jerman selepas menewaskan VfB Stuttgart 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Olimpik, Berlin, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Harry Kane membuktikan statusnya sebagai mesin gol Bayern Munich apabila meledak hatrik untuk menghadiahkan kemenangan 3-0 ke atas VfB Stuttgart dalam final Piala Jerman, semalam sekali gus menamatkan penantian trofi domestik kelab itu penuh bergaya.

Aksi cemerlang kapten England di Olympiastadion bukan sahaja memastikan Bayern menjulang trofi Piala Jerman buat kali ke-21, malah melengkapkan kejuaraan berganda liga dan piala buat kali ke-14 dalam sejarah kelab gergasi Bavaria itu.

Lebih manis, tiga jaringan tersebut menyaksikan Kane kini mengumpul 61 gol dalam semua pertandingan musim ini bagi menutup kempen luar biasa yang akhirnya memadam kemarau enam tahun Bayern tanpa kejuaraan berganda.

Legenda kelab dan tokoh berpengaruh Bayern, Uli Hoeness tanpa berselindung menyifatkan penyerang berusia 32 tahun itu sebagai pembelian paling berjaya pernah dilakukan kelab berkenaan, sambil menepis spekulasi perpindahan Kane ke Barcelona.

“Harry Kane adalah pembelian terbaik pernah kami lakukan. Bayern adalah kelab yang membeli pemain, bukan menjual pemain. Barcelona pula tiada wang,” katanya.

Kane yang menjadi nadi utama serangan Bayern mengakui penghargaan daripada individu seperti Hoeness memberi makna tersendiri dalam kariernya bersama juara Bundesliga itu.

“Untuk mendengar kata-kata seperti itu di kelab sebesar ini, dengan begitu ramai pemain hebat pernah beraksi di sini, ia sesuatu yang istimewa.

“Menjelang final ini, saya rasa menjadi tanggungjawab saya seperti pemain lain untuk memastikan kami menang.

“Saya tahu akan mendapat peluang dan hari ini(semalam) ia berlaku lagi. Menjaringkan hatrik dalam final adalah satu perasaan amat istimewa. Ia kenangan yang akan saya ingat sampai bila-bila,” ujar Kane. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN