MUNICH: Bayern Munich belum mahu meraikan kejuaraan Bundesliga kerana masih bernafsu untuk memburu dua lagi trofi iaitu Piala Jerman dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Pengendalinya, Vincent Kompany menegaskan misi pasukan itu masih jauh daripada selesai dan menyeru anak buahnya terus memberi persembahan terbaik.
Kemenangan 4-2 ke atas VfB Stuttgart, semalam membolehkan Bayern selesa di puncak liga dengan kelebihan 15 mata, namun sambutan diraikan secara sederhana kerana fokus kini terarah kepada dua lagi trofi utama.
Kelab gergasi Jerman itu bakal berdepan Bayer Leverkusen dalam aksi separuh akhir Piala Jerman sebelum mengharungi ujian lebih getir menentang Paris Saint-Germain (PSG) di pentas separuh akhir Liga Juara-Juara.
“Musim belum berakhir. Masih ada trofi untuk dimenangi. Kami berdepan cabaran besar menentang PSG, tetapi sebelum itu fokus kepada Leverkusen.
“Kami akan terus berusaha keras untuk memenangi kedua-dua trofi itu bagi menamatkan musim ini dengan lebih banyak kejayaan,” kata Kompany.
Menurutnya, tempoh beberapa minggu akan datang bakal menjadi penentu sebenar kejayaan musim ini, justeru tahap fokus dan konsistensi perlu dikekalkan pada tahap tertinggi.
Kompany yang mengambil alih tugas daripada Thomas Tuchel pada tahun 2024, berjaya mengembalikan dominasi domestik Bayern selepas Leverkusen menamatkan penguasaan mereka musim lalu.
Di bawah kendaliannya, Bayern turut mencipta beberapa rekod baharu Bundesliga termasuk jumlah jaringan terbanyak dalam satu musim, memperlihatkan kebangkitan semula kuasa besar bola sepak Jerman itu.
Bayern kali terakhir menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2020 dan kini mengintai gelaran ketujuh Eropah dalam sejarah kelab.
“Kami akan meraikan kejayaan ini, tetapi fokus utama adalah apa yang masih boleh dicapai,” ujarnya. – AFP/UTUSAN










