JDT berpesta gol belasah Kedah 6-0

JDT berpesta gol belasah Kedah 6-0

JDT berjaya membenam kedah 6-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 6-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Keputusan itu menyaksikan kekalahan kedua skuad Nafuzi Zain di tangan Harimau Selatan kepada JDT dalam tempoh enam hari selepas tewas 0-3 pada aksi Piala FA, Ahad lalu.

Pada perlawanan itu, skuad Kenari yang turun tanpa kelibat Sony Norde, Syafiq Ahmad, Sukhrob Nurullaev dan Faiz Nasir dilihat diasak hebat pasukan tuan rumah yang memburu gol pembukaan.

Gol yang diburu JDT hadir seawal minit kelapan setelah Bergson yang mendapat umpanan Heberty Fernandes melepasi kawalan ketat Jose Cleylton sebelum melakukan sepakan voli ke penjuru gol menewaskan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Jaringan tersebut memberi suntikan semangat buat anak buah Hector Bidoglio mengatur serangan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-17 menerusi percubaan Oscar Arribas namun rembatan dilakukan tepat ke arah penjaga gol KDA FC.

Dua minit berselang, pasukan pelawat cuba melakukan serangan ke arah kubu JDT menerusi percubaan Amirul Hisyam Awang Kechik namun sepakan rendah yang dilakukan berjaya dihidu Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Pada minit ke-33, Fernandes mensia-siakan umpanan cantik Juan Muniz apabila rembatan lencong mencari penjuru kanan sedikit tersasar.

Bergson menambah jaringan peribadinya pada minit ke-35 dengan menghukum kesilapan Akmal Zahir yang menanduk bola ke belakang apabila merampas bola sebelum melakukan sepakan lambung menewaskan Kalamullah.

Penyerang prolifik kelahiran Brazil itu hampir melengkapkan hatrik pada akhir babak pertama namun rembatan dari jarak dekat melambung melewati palang gol.

Bersambung babak kedua, Harimau Selatan semakin buas melancarkan serangan bertali arus dan berpeluang menambah jaringan namun Arif Aiman Hanapi yang berada dalam posisi satu lawan satu gagal menewaskan penjaga gol skuad Kenari.

Pada minit ke-64, Bergson melengkapkan jaringan hatrik setelah mempamerkan gerakan memukau menggelecek tiga pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan deras bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Pasukan pelawat dilihat buntu dan tidak mampu mengekang kemaraan Harimau Selatan yang bermaharajalela mendominasi permainan sehingga KDA FC tiada jawapan untuk mengawal keadaan.

Hasilnya, juara 10 kali Liga Super itu menambah derita buat pasukan pelawat apabila meledak tiga gol dalam tempoh lima minit hasil jaringan Feroz Baharudin pada minit ke-74 diikuti Murilo Henrique (m-76) dan Afiq Fazail (m-79).

Kalamullah menyelamatkan ‘air muka’ KDA FC daripada kekalahan lebih memalukan apabila menafikan percubaan daripada Arif Aiman, Oscar dan Romel Morales yang mahu meletakkan nama dalam senarai penjaring.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN