Bidoglia tidak mahu anak buah leka

Bidoglio tidak mahu anak buah leka

PENYERANG JDT, Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva diasak tiga pemain pertahanan KDA FC pada perlawanan kedua separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio enggan dibuai kejayaan menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi separuh akhir kedua Piala FA lalu apabila sekali lagi melayan kunjungan skuad Kenari, malam ini.

Menurutnya, perlawanan kali ini berbeza dan pasukan kendalian Nafuzi Zain itu akan melakukan perubahan bagi mengelakkan kekalahan dua kali berturut-turut.

Justeru, ketua jurulatih berusia 56 tahun itu menuntut anak buahnya untuk memberikan aksi terbaik dan tidak mengambil mudah selepas JDT berjaya menewaskan KDA FC 3-0 pada aksi Piala FA, Ahad lalu.

“Ini adalah perlawanan yang berbeza dan kita tidak boleh mengambil mudah hanya kerana pernah menewaskan mereka beberapa hari yang lalu. Justeru, pemain perlu memberikan aksi terbaik dan tumpuan penuh di atas padang menentang skuad Kenari.

“Kita juga perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dengan memastikan tiga mata tidak terlepas daripada genggaman,” katanya.

Dalam pada itu, Bidoglio tidak menolak kemungkinan untuk melakukan perubahan dalam kesebelasan utama ketika mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas KDA FC, Ahad lalu.

“Untuk perlawanan kali ini, kami perlu merehatkan beberapa pemain serta membariskan kesebelasan pemain yang berada pada prestasi terbaik bagi memastikan pasukan dapat beraksi pada tahap optimum.

“Ini juga adalah sebagai persiapan pasukan untuk memastikan pemain lebih bersedia mengharungi perlawanan akan datang termasuk aksi final Piala FA,” katanya.

Dalam pada itu, Bidoglio memberitahu, anak buahnya sudah tidak sabar beraksi dalam final Piala FA menentang Selangor FC pada 24 Ogos ini.

“Aksi final Piala FA menentang Selangor merupakan perlawanan yang dinanti-nantikan para pemain JDT. Kesemua pemain tampak lebih bersemangat dan gigih menjalani latihan intensif bagi mempersiapkan diri untuk diturunkan pada perlawanan tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN