PETALING JAYA: Skuad bola sepak Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan enggan mendabik dada terlalu awal meskipun berjaya mencatat dua kemenangan besar pada aksi Kumpulan C Kejohanan B-19 ASEAN 2024 di Surabaya, Indonesia kelmarin.
Jelasnya, kemenangan 5-0 ke atas Singapura menunjukkan pemain memiliki motivasi cukup tinggi untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu.
Pengurus pasukan, Mohd Joehari Mohd Ayub mengakui moral setiap pemain ketika ini berada dalam keadaan terbaik selepas mencatat dua kemenangan besar ke atas Brunei dan Singapura.
Bagaimanapun, dia mengingatkan semua pemain tidak cepat berpuas hati, sebaliknya perlu meningkatkan lagi tahap permainan dan memperbaiki kelemahan yang dilakukan dalam dua perlawanan sebelum ini.
“Alhamdulillah secara keseluruhan semua berjalan dengan baik dan ia diperolehi hasil usaha semua pihak terutamanya pemain-pemain yang mahukan kemenangan demi membanggakan nama Malaysia.
“Memang dari satu perlawanan ke satu perlawanan ada peningkatan ditunjukkan tetapi kita tidak sesekali memandang rendah keupayaan lawan yang dihadapi.
“Untuk dua perlawanan ini, keputusan cukup baik dicatat pasukan dan tentunya kredit utama perlu diberikan kepada pemain yang sentiasa menunjukkan moral yang tinggi dan berdisplin,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Pada aksi di Stadium Gelora 10 November Malaysia memperolehi gol seawal minit ketujuh menerusi jaringan Muhamad Ridzwan Rosli, disusuli gol oleh Muhammad Naim Zainuddin selang lima minit kemudian, manakala G. Pavithran menambah derita Singapura pada minit pertama masa kecederaan babak pertama.
Bersambung babak kedua, anak buah Juan Torres Garrido menambah dua lagi gol menerusi Muhamad Faris Danish Mohd Asrul pada minit ke-73 dan Izzat Muhammad Syahir pula melengkapkan kemenangan skuad negara pada minit ke-82.
Skuad muda negara kini berada dikedudukan teratas Kumpulan C Piala AFF B-19 selepas memiliki kelebihan jumlah gol selepas berkongsi enam mata dengan Thailand manakala Singapura dan Brunei masing-masing berada di tangga ketiga dan keempat tanpa sebarang mata.
Malaysia yang memulakan kempen penuh bergaya selepas membelasah Brunei 11-0 pada Jumaat lalu bakal menentukan juara kumpulan dengan bertemu Thailand di Stadium Gelora Bung Tomo, esok.
Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke separuh akhir dan naib juara terbaik daripada tiga kumpulan melengkapkan senarai separuh akhir.-UTUSAN










