PETALING JAYA: Ketua jurulatih hoki kebangsaan, Sarjit Singh menegaskan beliau tahu apa yang perlu dilakukan untuk meningkatkan prestasi Speedy Tigers selepas berdepan kritikan hebat apabila pasukannya dibelasah 10-1 oleh Jerman pada aksi Siri Jelajah Eropah, Ahad lalu.
Menurut Sarjit, segala kritikan yang dilemparkan peminat sukan tempatan langsung tidak menggusarkannya kerana ‘mulut-mulut yang bercakap’ itu tidak menonton perlawanan secara langsung.
“Ramai orang mengecam mengenai taktik, strategi dan peranan saya sebagai jurulatih. Bagaimanapun, saya tahu apa yang saya lakukan dan saya sudah melihat pasukan kebangsaan menunjuk banyak peningkatan.
“Mereka perlu memahami bahawa pasukan ini masih muda dan sebahagian daripada mereka masih dalam proses mengutip pengalaman.
“Permainan (menentang Jerman) itu sudah tentu mengecewakan saya. Apa yang kami di barisan kejurulatihan kini mahu berganding bahu untuk yang terbaik sekarang. Lebih baik gagal menentang pasukan berkelas dunia daripada gagal pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, tular di media sosial bahawa Sarjit menerima kritikan dan kecaman yang hebat susulan Speedy Tigers menjadi mangsa belasahan oleh pasukan nombor lima dunia itu pada aksi terbabit.
Dalam pada itu, Sarjit turut mengulas mengenai komen yang menggesa Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyemak semula Petunjuk Prestasi Utama (KPI) beliau dalam skuad kebangsaan.
“Saya tidak berada di sini (skuad kebangsaan) untuk membuktikan diri saya kepada mereka yang memberi kecaman saya tanpa menonton perlawanan kami.
“Ada sebab KHM membawa saya masuk ke skuad kebangsaan. Saya percaya saya mampu menjalankan tugas saya dengan tekun,” ujarnya.
Sebelum kekalahan teruk menentang Jerman, Speedy Tigers membuka kempen siri terbabit dengan menewaskan pasukan B Belgium sebanyak dua kali dengan jaringan sama 3-2 sebelum tewas kepada Belgium 4-2.-UTUSAN










