Sang Penyu tidak boleh terlalu selesa

Sang Penyu tidak boleh terlalu selesa

ISMAHEEL Akinade dijangka menjadi taruhan TFC dalam aksi menentang Sabah FC, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Barisan pemain Terengganu FC (TFC) diingatkan tidak boleh terlalu selesa dengan bekalan empat gol yang dibawa bagi aksi suku akhir kedua Piala FA bertemu Sabah di Stadium Likas, malam ini.

Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner juga menyifatkan pertembungan timbal balik itu pasti lebih sukar apabila tekanan terarah kepada pasukannya untuk mempertahankan agregat 4-0.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Croatia itu tetap optimis TFC mampu mara ke separuh akhir dengan syarat anak-anak buahnya tidak melakukan kesilapan mudah di awal permainan.

“Di atas kertas memang TFC turun selaku pasukan pilihan tetapi masih ada 90 minit lagi dan pemain-pemain saya perlu kekal fokus dan tidak boleh leka atau kami akan dihukum.

“Mereka (Sabah) ada pemain yang bagus di semua posisi dan (esok) mungkin permainan mereka lebih agresif di tempat sendiri untuk memburu gol awal dan memberi tekanan kepada TFC.

“Jika pemain-pemain saya boleh mengawal rentak permainan atau sekurang-kurangnya mencari satu gol lagi, peluang TFC untuk meneruskan kemaraan semakin cerah,” ujarnya ketika ditemui di sini, semalam.

Pada aksi suku akhir pertama, minggu lalu, TFC membawa bekalan selesa menang 4-0 dibantu dua jaringan Ismaheel Akinade serta satu gol masing-masing daripada Manuel Ott dan Marin Pilj.

Sementara itu bagi Akinade yang merupakan penjaring terbanyak skuad Penyu ketika ini, semangatnya kian berkobar-kobar setelah meledak dua gol ke atas lawan sama ketika pertemuan di laman sendiri.

Malah penyerang tinggi lampai itu mengakui lega dengan prestasi semasanya setelah menerima kritikan ekoran aksi hambar sejak meninggalkan Kelantan FC dan Kelantan United untuk menyertai TFC.

“Barisan jurulatih pasti sudah ada percaturan untuk bertemu Sabah, saya cuma harap rakan-sepasukan juga mengekalkan momentum dan kami tidak akan turun sekadar untuk bertahan.

“Sebagai penyerang pastinya saya mahu menjaringkan lebih banyak gol tetapi apa yang utama adalah kejayaan pasukan dan tugas mempertahankan empat gol bukan tugas pemain pertahanan sahaja,” katanya.

Habis

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN