PETALING JAYA: Kehilangan kapten pasukan, Luciano Guaychochea memberi kesan besar kepada persiapan Perak FC menjelang perlawanan menentang Kuching City, malam ini.
Luciano dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua ketika menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada sabtu lalu.
Ketua jurulatih perak FC, Yusri Che lah berkata, kehilangan Luciano memberi kesan kerana beliau merupakan nadi dan arkitek pasukan untuk menggerakkan bahagian tengah.
“Sudah pasti Kehilangan Luciano amat dirasakan, namun saya mengharapkan pemain yang diturunkan di posisinya dapat mengambil tanggungjawab dengan lebih berkesan.
“Kami hanya mempunyai tiga hari untuk persiapan untuk melayan kunjungan Kuching City di laman sendiri selepas perjalanan jauh dari Kelantan ke Perak,” kata Yusri.
Menurut Yusri, para pemain perlu memberi fokus untuk mengutip tiga mata penuh dan mengelak daripada dimalukan dihadapan penyokong setia di Stadium Ipoh.
“Saya harap pemain fokus dan beraksi dengan keyakinan kerana hanya keyakinan yang dapat meningkatkan corak permainan dan seterusnya memberi impak dalam perlawanan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tetap berwaspada dengan serangan serta corak permainan yang bakal diberikan oleh Kuching City FC yang diterajui Aidil Shahrin Sahak.
“Beza kami hanya satu mata. Walaupun Kuching City baru tewas satu perlawanan, mereka mempunyai momentum yang baik.
“Kami perlu berhati-hati terutamanya dengan kembalinya ayam tambatan mereka seperti Tchetche Kipre yang boleh menambah kekuatan serangan mereka,” jelasnya.
Untuk rekod, Perak FC telah mengalami dua kekalahan berturut-turut di halaman sendiri.
Habis










