IPOH: Penyokong Perak FC sedia memberi sokongan kepada Manjung City FC bagi musim 2025/2026 selepas skuad Seladang terkubur.
Manjung City FC dijangka meneruskan saingan dalam Liga Semi-Pro A1 atau Liga A1, setelah mula beraksi dalam liga amatur dan semi-pro sejak 2020.
Malah Stadium Majlis Perbandaran Manjung juga tidak asing buat penyokong kerana Perak FC sebelum ini beraksi di stadium tersebut bagi musim 2024/2025.
Setiausaha Kehormat Gabungan Kelab Penyokong Perak, Hakimi Halim berkata, sokongan itu bagi memastikan semangat dan budaya menyokong sukan bola sepak di negeri ini tidak pupus.
“Walaupun pasukan ini tidak menggunakan nama Perak, tetapi Manjung City FC berpangkalan di Perak. Kita menggalakkan para penyokong Perak memberi sokongan kepada mereka, selain pasukan-pasukan di bawah Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA),” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Manjung City FC pada awal bulan ini menyatakan pasukan itu akan meneruskan cabaran dalam kancah bola sepak tempatan susulan berita penarikan diri Perak FC akibat masalah kewangan.
Bagaimanapun, Perak FC masih berpeluang untuk beraksi di Liga A1 sekiranya melepasi syarat-syarat yang ditetapkan Liga Bolasepak Amatur (AFL).
Dalam pada itu Hakimi berkata, meskipun sedia maklum berkenaan nasib Perak FC, namun berita terbaharu bahawa pasukan tersebut tidak tersenarai dalam 14 pasukan yang akan berentap dalam saingan Liga Super musim depan ibarat menambah luka buat para penyokong.
“Kami terkilan. Tidak lagi boleh lihat pasukan kesayangan kami. Banyak kekecewaan yang mahu diluahkan kepada pengurusan pasukan,” katanya yang mewakili gabungan itu yang sudah berusia lebih 20 tahun.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi sebelum ini berkata kepada Utusan Malaysia, andai kata pelabur baharu hendak membeli Perak FC, ia tertakluk kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) jika mahu membenarkan Perak FC bermain dalam Liga Super.
“Pada masa sama, sekiranya MFL nak beri kelulusan tersebut, pelabur mesti membuktikan yang mereka mempunyai dana mencukupi dan segala beban hutang mesti diselesaikan sebelum lesen bermain diberikan,” katanya.-UTUSAN










