PETALING JAYA: Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah turun dengan misi wajib menang ke atas pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti untuk mengintai peluang ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024.
Peluang Pearly-Thinaah untuk meraih slot ke suku akhir kembali terbuka selepas pasangan negara itu berjaya mengejutkan bekas juara dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-15, 21-16, kelmarin.
Dengan harapan Apriyani-Siti Fadia sudah tertutup rapat untuk ke sukun akhir selepas tumpas lam dua perlawanan awal, kini segala-galanya terletak di tangan Pearly-Thinaah sendiri untuk mencaturkan perjuangan mereka di Paris.
Menurut Pearly, kunci utama mereka untuk menewaskan pasangan Indonesia itu adalah beliau perlu berkomunikasi dengan baik bersama Thinaah ketika berada di dalam gelanggang.
Katanya, faktor itu menjadi kunci utama ketika mereka menewaskan Matsumoto- Nagahara yang merupakan juara dunia dua kali sekali gus menghidupkan peluang mereka mara ke peringkat seterusnya.
“Kami sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain. Ianya merupakan perkara yang paling penting. Apabila seorang ‘down’ maka seorang lagi perlu menyokong.
“Komunikasi ini sangat membantu kami dalam perlawnan dan ianya menjadi satu perkara yang kami akan bawa pada perlawanan seterusnya,” kata Pearly.
Pada aksi pertama kumpulan A, Pearly-Thinaah terpaksa akur dengan kekuatan gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan apabila tumpas 17-21, 20-22.
Sementara itu, Pearly menambah, kekalahan kepada pasangan China itu memberi satu pengajaran bermakna dan hasilnya dapat dipersembahkan susulan kemenangan ke atas pasangan No.6 dunia dari Jepun itu.
“Kalau tengok perlawanan semalam (Sabtu) ketika mendahului, kami mahukan mata mudah dan cepat jarakkan kedudukan. Namun, ia buatkan situasi menjadi lebih buruk.
Jadi, untuk perlawanan kedua, kami mengingatkan antara satu sama lain untuk lebih bersabar dan menikmati setiap rali. Itu yang membantu kami dapat mengawal permainan di set kedua dan ketiga,” ujar Pearly.
Di atas kertas, perhitungan antara Pearly-Thinaah dijangka sengit bersama pasangan Indonesia ranking nombor sembilan dunia petang ini berikutan rekod pertemuan mereka seri 3-3.-UTUSAN










