Kedah belum ‘solid’ - Nafuzi

Kedah belum cukup ‘solid’ – Nafuzi

PEMAIN Kedah Darul Aman (KDA) FC meraikan kejayaan mereka menumpaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, kelmarin.-IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain tidak menganggap pasukannya berada di tahap terbaik meskipun tidak tewas dan bolos dalam lima perlawanan berturut-turut.
Menurut Nafuzi, banyak perkara perlu perbetulkan terutamanya menjelang kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA di laman sendiri, Jumaat ini.

“Memang keputusan nampak bagus tetapi masih banyak kelemahan perlu dibaiki. Walaupun tak dibolosi dalam lima perlawanan berturut-turut, tetapi pasukan lawan sebenarnya masih diberi banyak ruang untuk mencipta peluang dan menghasilkan gol.

“Bukan itu saja, gerakan menyerang kita juga perlu dibaiki bagi memastikan lebih banyak jaringan dapat dihasilkan. Dalam erti kata lain, masih banyak perkara perlu dilakukan untuk pasukan ini menjadi betul-betul ‘solid’,” katanya dalam sidang akhbar selepas KDA FC menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 3-0, kelmarin.

Bagaimanapun, Nafuzi mengakui pencapaian semasa itu mampu membantu untuk menambah keyakinan pemain bagi perlawanan seterusnya.

“Kita memiliki ramai pemain berkualiti di bahagian pertahanan. Selain gandingan Jose Cleylton Dos Santos serta Irfan Zakaria yang menunjukkan peningkatan, kami juga memiliki Akmal Zahir serta Loqman Hakim Marzuki yang bersedia diturunkan bila-bila masa.

“Berlaku persaingan sihat dalam kalangan mereka untuk merebut tempat beraksi dalam skuad utama. Itu sesuatu yang baik buat pasukan dan sudah tentu saya akan membuat penilaian menurunkan mereka mengikut kesesuaian,” katanya.

Ditanya kritikan peminat terhadap penyerang utama KDA FC, Milos Gordic yang dikatakan gagal menyerlah, Nafuzi berharap para peminat dapat memberi kepercayaan dan tempoh buat pemain Serbia itu menunjukkan kebolehannya.

“Jangkaan penyokong sentiasa tinggi dan kritikan terhadap seseorang pemain merupakan perkara biasa. Namun apa yang menjadi keutamaan bagi saya sebagai jurulatih, permainan baik ditunjukkan seseorang pemain hingga membantu pasukan mengutip tiga mata juga penting daripada hanya menjaringkan gol.

“Mengenai Milos, saya tak ada masalah dengan persembahannya cuma jaringan dilakukannya agak kurang. Saya tahu yang dia juga kecewa kerana gagal jaringkan gol dan disebabkan itu, saya selalu pesan kepadanya agar tidak berputus asa dan sentiasa bekerja keras,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN