ISKANDAR PUTERI: Juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Johor menyasarkan kedudukan kelompok tiga terbaik dengan sasaran 60 emas pada Sukma ke-21 di Sarawak bulan depan.
Chef de mission (CDM), Datuk Pandak Ahmad berkata, kontinjen Johor akan mengambil bahagian dalam semua acara yang dipertandingkan kecuali skuasy.
Katanya, atlet Johor sudah membuat persiapan rapi dari segi mental dan fizikal bagi menggalas tanggungjawab membawa pulang kilauan emas.
“Sebagai juara keseluruhan edisi Sukma yang lalu, kita berdepan cabaran besar untuk pertahankan gelaran itu lebih-lebih lagi sukan kanu yang menjadi lubuk emas tidak dipertandingkan kali ini.
“Sudah pasti tuan rumah mempunyai strategi tersendiri untuk memanfaat peluang sebagai hos Sukma ke-21 selain berdepan saingan sengit daripada kontinjen Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan,” katanya.
Pada edisi Sukma ke-20 di Kuala Lumpur, Johor muncul juara keseluruhan apabila berjaya mengutip 77 pingat emas, 23 daripadanya menerusi acara kanu.
Pandak berkata, acara olahraga, memanah, silat dan tinju menjadi sasaran lubuk emas buat kontinjen Johor bagi memastikan sasaran 60 pingat emas mampu dicapai.
Katanya, persiapan atlet berjalan lancar dan pihak persatuan mempunyai tempoh 32 lagi untuk membuat persiapan terakhir memastikan atlet yang membawa misi negeri ini berada pada tahap terbaik.
“Saya berpuas hati dengan laporan akhir yang disediakan pengurusan persatuan sukan terlibat, dalam tangan kita berupaya mengutip sekurang-kurangnya 40 pingat emas.
“Saya harap mereka dapat menambah baik kemampuan atlet yang pastinya berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan masa di sana selain masalah logistik untuk ke sesuatu venue di luar Kuching,” katanya.
Seramai 599 atlet menjadi taruhan Johor pada Sukma ke-21 dan dijangka akan terlepas ke Sarawak pada 16 Ogos, pasukan bola sepak akan ‘terbang’ lebih awal pada 11 Ogos.
Perkampungan bagi kontinjen Johor terletak di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kuching dengan 12 acara dipertandingkan di Miri, Mukah, Betong dan Bintulu.-UTUSAN










