KUALA NERUS: Johor muncul juara baharu Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan 2024 selepas mengalahkan Selangor, 22-0 pada aksi final di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail di sini, hari ini.
Pada perlawanan itu, Johor yang diperkuatkan 10 tonggak kebangsaan bermula cemerlang menerusi ‘try’ sulung Kamal Hamidi Mohd. Raihan pada awal babak.
Johor terus selesa menerusi ‘try’ dan ‘conversion’ sempurna Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi sebelum satu lagi ‘try’ oleh Muhammad Zulhisham Rasli menjadikan kedudukan 17-0 sehingga rehat.
Ammar Mohamad Zamri melengkapkan kemenangan bergaya Johor melalui ‘try’ pada babak kedua bagi memastikan pasukan itu menamatkan penantian bergelar juara sejak 2013.
Selaku juara, Johor membawa pulang piala pusingan, piala iringan, pingat dan wang tunai RM5,000 sementara Selangor terpaksa berpuas hati dengan pingat serta wang tunai RM3,000.
Jurulatih Johor, Mohd. Izwan Abu Bakar, berkata, anak-anak buahnya menunjukkan prestasi cukup cemerlang sejak peringkat kumpulan untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 11 tahun.
“Segala percaturan tampak serba menjadi terutama di bahagian serangan, malah pemain-pemain juga berdisiplin ketika bertahan sehingga berjaya mematahkan gerakan lawan.
“Tidak dinafikan kehadiran 10 pemain negara memberi kelebihan kepada Johor dan kejayaan ini akan membakar semangat kami menghadapi Piala Agong, bulan depan,” katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.
Sementara itu Johor turut unggul bagi kategori lelaki bawah 21 tahun (B-21) setelah mengalahkan tuan rumah, Terengganu, 26-12 di hadapan penyokong mereka sendiri.
Kategori wanita terbuka pula dimenangi Selangor yang membenam cabaran Perlis, 15-5 manakala kategori wanita B-21 menjadi milik Terengganu apabila menang 17-0 ke atas Selangor.
Juara bagi ketiga-ketiga kategori itu merangkul piala pusingan, piala iringan, pingat dan hadiah wang tunai RM3,000 sementara naib juara RM2,000 berserta pingat.
Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. – UTUSAN










