COLOGNE: Rekod permainan yang sempurna dihasilkan oleh pasukan Sepanyol menjadikan mereka sebagai pasukan pilihan untuk merangkul gelaran Euro 2024.
Bagaimanapun, Sepanyol enggan memikirkan gelaran sebagai pilihan apabila mahu mengawasi ancaman Georgia kerana pasukan kerdil itu berjaya menumpaskan Portugal 2-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Khamis lalu.
“Bulan lalu, kami sememangnya tiada peluang (Euro 2024) menurut kata orang ramai dan akhbar. Namun, kini lami menjadi pasukan pilihan. Ianya berubah dengan sangat pantas.
“Menjadi pilihan tidak membantu kami sama sekali. Kami enggan mahu terima tekanan itu. Kami mahu datang ke sini mahu menjadi juara dan itu masih menjadi mentaliti kami,” kata pertahanan Sepanyol, Alejandro Grimaldo.
Untuk rekod, dua pertemuan terakhir tahun lalu menyaksikan Sepanyol membelasah Georgia 3-1 dan 7-1 pada aksi kelayakan Euro.
Bagaimanapun, Grimaldo menegaskan rekod pertemuan terakhir mereka bersama Georgia tidak memudahkan mereka pada saingan awal pagi esok.
“Biarpun kami membelasah mereka (Georgia) pada aksi kelayakan, namun ia tidak memberi sebarang perbezaan kepada kami. Kami waspada terhadap permainan mereka.
“Georgia sememangnya meningkat dengan mendadak sejak pendedahan mereka di Euro kali ini. Menewaskan pasukan yang ada Cristiano Ronaldo (Portugal) memang mengejutkan pada mata bola sepak dunia,” ujarnya. – AGENSI.-UTUSAN










