Peng Soon fokus lahir pemain bintang

Peng Soon fokus lahir pemain bintang

Chan Peng Soon dan Cheah Yee See mengambil keputusan bersara selepas Kejohanan Malaysia Masters 2024, minggu lalu. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas mengumumkan persaraan dari sukan badminton, Chan Peng Soon kini menawarkan bekas pemain untuk menyertai Akademi Badminton CPS miliknya sebagai platform mencurah ilmu kepada generasi akan datang.

Peng Soon mendedahkan akademi yang ditubuh sejak 2020 berjaya mengumpulkan beberapa bekas pemain kebangsaan ternama yang sudah menimba pengalaman di peringkat tertinggi dunia.

Beliau bersama pasangannya, Cheah Yee See selaku jurulatih akademi terbabit mengambil bekas pemain sebagai tenaga pengajar seperti Peck Yen Wei, Chang Yee Jun dan Lee Meng Yean untuk merealisasikan visinya dalam usaha melahirkan pemain badminton yang berkualiti.

“Saya harap lepas pemain negara bersara mereka masih meneruskan legasi mereka dalam kerjaya sukan badminton. Saya rasa bertuah kerana ada barisan kejurulatihan yang muda serta berpengalaman di peringkat tertinggi.

“Bukan mudah mendapat peluang seperti ini. Saya mahu generasi berlatih dengan jurulatih berpengalaman dan kepakaran mereka dalam memberi manfaat kepada pelajar akademi ini.

“Ini salah satu asas yang penting bagi memupuk pemain muda dalam melahirkan pemainnya yang berkualiti tinggi untuk mengasah dengan lebih mampan terhadap bakat mereka,” kata Peng Soon.

Men Yean, 30 merupakan pemain beregu wanita yang pernah berkedudukan pemain nombor 10 terbaik dunia serta beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 lalu.

Selain itu, Yen Wei, 28 merupakan pemenang pingat emas acara beregu lelaki bersama Chen Tang Jie pada Sukan Asia Tenggara (SEA) 2021 di Hanoi Vietnam.

Dalam pada itu, Peng Soon mengidamkan mahu meluaskan cawangan akademi miliknya di beberapa kawasan di Selangor.

Menurutnya, beliau kini mempunyai empat cawangan iaitu dua di Pulau Pinang dan baki berada di Setapak dan Petaling Jaya.

“Selepas persaraan saya ini, saya mahu membina dewan badminton bagi mempermudahkan sesi latihan. Saya berkemungkinan akan memilih Serdang dan Rawang bagi cawangan berikutnya.

“Saya belum terfikir untuk melatih di luar Malaysia. Fokus saya hanya disini untuk membangunkan akademi dan memperkasakan bakat baharu di sini,” katanya.

Untuk rekod, Peng Soon bersama pasangannya sebelum ini Goh Liu Ying merangkul pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN