Harimau Malaya 'tempang', peluang pemain lain menyerlah

Harimau Malaya ‘tempang’, peluang pemain lain menyerlah

Kim Pan Gon ketika mengendalikan sesi latihan kem harimau Malaya di Wisma FAM.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehilangan tujuh pemain menjelang baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun ini dan Taiwan (11 Jun) memberi bayangan harapan untuk melihat Harimau Malaya mara lebih jauh dalam pusingan kelayakan itu semakin pudar.

Bukan ingin menindak keupayaan pemain yang sedia ada, namun dengan persiapan ‘mengerikan’ tanpa sebarang aksi persahabatan berkelas ‘A’ dan berintensiti tinggi, malah hanya diuji menentang Perak FC menunjukkan skuad kendalian Kim Pan Gon berada dalam keadaan sukar.

Lebih parah, senarai tonggak yang cedera menambah ‘beban’ kepada barisan kejurulatihan diketuai Pan Gon untuk merencana strategi terbaik dengan menggunakan ramuan sedia ada bagi mencatat keputusan positif pada dua perlawanan akan datang untuk menghidupkan peluang Malaysia memburu tempat ke Piala Dunia dan layak ke Piala Asia secara merit.

Tujuh pemain yang tidak dapat bersama Harimau Malaya adalah Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Romel Morales, Ahmad Syihan Hazmi, Darren Lock, Syafiq Ahmad dan Azam Azmi Murad susulan mengalami kecederaan.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Rudie Ramli mencabar pemain-pemain lain menggunakan peluang tersebut untuk menyerlah sekali gus membuktikan bahawa mereka mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan rakan sepasukan lain.

Jelasnya, ketiadaan tujuh tonggak dalam mana-mana pasukan negara sememangnya memberi kesan besar kepada prestasi pasukan, namun dia optimis Pan Gon telah mempunyai perancangan terbaik untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Jika kita lihat daripada sudut negatif memang akan beri kesan besar kepada prestasi pasukan kerana tanpa tujuh pemain tetapi ini adalah peluang terbaik untuk pemain-pemain lain membuktikan kemampuan mereka.

“Dua aksi ini sangat penting untuk pasukan negara bagi menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya Piala Dunia dan memburu slot merit ke Piala Asia. Untuk persiapan kita nampak memang agak membimbangkan tetapi kita perlu terus memberi sokongan penuh kepada pasukan kebangsaan.

“Bagi saya, sudah pasti Pan Gon dan barisan kejurulatihan memiliki pelan untuk membina pasukan terbaik bagi menghadapi dua perlawanan penting ini,” katanya kepada Utusan Malaysia,semalam.
Dalam pada itu, Perancang tengah negara, Syamer Kutty juga dipercayai mengalami kecederaan ringan dan menjalani latihan berasingan.

Kem latihan pusat Harimau Malaya kini disertai 24 pemain dengan pemain Selangor FC (SFC), Nooa Laine menyertai pasukan hari ini bagi melengkapkan senarai senarai 25 pemain yang akan terbang ke Bishkek, Kyrgyzstan esok

Skuad Harimau Malaya dijadual menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada Khamis ini dan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN